Setiap anggota penguatkuasa yang telah dilantik oleh kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara keselamatan negara. Tugas yang telah diamanahkan kepada mereka perlu dijalankan dengan penuh rasa amanah dan integriti pada setiap masa supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat.
Bagaimanapun terbaru, tular rakaman video di media sosial kelakuan anggota penguatkuasa yang dilihat bertindak di luar batasan apabila memukul seorang individu dipercayai ketika menjalankan tugas.
Bertindak agresif
Kalau no plat kita pelik sikit @JPJ_Malaysia sampai ukur guna pembaris kononnya kena ikut SOP. Ini nak tanya, tangkapan ini adakah ikut SOP? pic.twitter.com/OwPuJLJ1FM
— MyWatch (@My_CrimeWatch) January 10, 2020
Menerusi video yang dikongsikan di laman Twitter ini, kelihatan pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak agresif dengan memukul seorang penunggang motosikal di kawasan berumput di tepi jalan raya.
Berdasarkan video berdurasi 0:45 saat itu, dua anggota tersebut dilihat turun dari kenderaan yang dinaiki mereka sebelum seorang daripadanya bertindak di luar batasan dengan memukul individu itu sehingga terduduk.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada kira-kira jam 10:30 pagi di Jalan Sandakan-Lahad Datu, Sabah.
Jalankan siasatan
Sumber yang memetik laporan portal itu berkata, ketika kejadian sepasukan 8 anggota JPJ melakukan sekatan jalan raya dan dua daripadanya bertugas membuat rondaan menggunakan kereta dari jabatan itu untuk melakukan pemeriksaan dan mengawal lalu lintas terhadap kenderaan berhenti sebelum sekatan.
Bagaimanapun, dua anggota terbabit kemudiannya mengesan seorang penunggang motosikal dan cuba berhenti sebelum sekatan terbabit.
Pegawai JPJ itu kemudiannya mengarahkan penunggang terbabit ke kawasan sekatan untuk pemeriksaan lanjut. Penunggang berkenaan kemudiannya berpatah balik dipercayai untuk melarikan diri dan cuba merempuh dua pegawai JPJ yang sedang mengawal lalu lintas.
Bagaimanapun, tindakan penunggang berkenaan gagal apabila tayar motosikalnya bergesel dengan bahagian hadapan kenderaan jabatan itu dan terbabas ke dalam parit di tepi jalan.
Tindakan penunggang berkenaan yang enggan berhenti dan bertindak agresif untuk melepaskan diri membuatkan dua pegawai JPJ berkenaan cuba sebaik mungkin untuk menghentikan dengan melompat ke arah motosikal seperti tular dalam video berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JPJ Sabah Datuk Abdul Rahman Zakaria berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dan akan memaklumkan hasil siasatan yang dilakukan mereka, kelak.
Sumber: Harian Metro, Twitter Mywatch