berita

[VIDEO] ‘Kami Tengok Pun Rasa Nak Nangis!’ – Dr Noor Hisham Sebak Umum Persaraan Timbalan KP

June 11th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia iaitu Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebak sebaik sahaja mengumumkan persaraan wajib Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon.

Dr Noor Hisham sebak

Menerusi pengumuman yang dibuat selepas sesi soal jawab sidang media harian KKM pada Rabu, Dr Noor Hisham seakan-akan sedang menahan sebak atas persaraan rakan seperjuangannya. Tetapi dalam masa yang sama, beliau tetap meneruskan pengumuman tersebut di samping meluahkan rasa penghargaan kepada ‘panglima perang’ atas segala bakti dan komitmen yang diberikan sepanjang perkhidmatannya.

Dengan berat hati ingin saya memaklumkan bahawa pada hari ini adalah kali terakhir salah seorang panglima perang saya, Datuk Dr Hj Rohaizat bin Hj Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan bersara wajib pada 10 Jun 2020 dan setelah berkhidmat selama 35 tahun 10 hari beliau telah bersama dengan pasukan KKM mengharungi dan memerangi wabak Covid-19.

Difahamkan, Dr Rohaizat sebelum ini telah memulakan kerjayanya pada tahun 1985 dengan menyandang jawatan Pegawai Perubatan dan 3 tahun selepas itu beliau dilantik sebagai Pengarah Hospital Kluang yang bermula dari tahun 1988 hingga 1990. Selepas berpindah ke ibu pejabat KKM, beliau telah memegang beberapa jawatan lain sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) pada 25 Mac 2019.

Pantun buat Dr Rohaizat

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi akaun Facebooknya turut mengakui terlalu banyak kejayaan dan sumbangan yang dikecapi oleh Dr Rohaizat sepanjang perkhidmatannya bersama KKM. Dalam kesempatan itu juga, Dr Noor Hisham mengambil peluang untuk menghadiahkan 2 rangkap pantun buat rakan seperjuanganya itu yang berbunyi:

Hebat Nakhoda berlayar selamat,
Tibanya malam berlabuh bahtera,
Bertahun lama menabur khidmat,
Bersama KKM membantu Negara.

Keris pusaka penuh azimat,
Masihlah terjaga tinggalan desa,
Selamat Bersara Dr Rohaizat,
Baktimu mulia dikenang sentiasa

Kami dari pihak OhBulan! ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Rohaizat, Datuk Dr Noor Hisham, seluruh anggota program perubatan dan warga KKM atas pengorbanan yang dicurahkan kepada negara.

Sumber: Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan Malaysia, Astro Awani

SKIP THIS AD ×