Kepentingan mempelajari pendidikan seksual dalam kalangan masyarakat di negara ini sering kali dipandang serong malah ramai yang menolak untuk berbincang tentang isu tersebut.
Justeru, OhBulan! dan Seismik mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran informatif kepada orang ramai menerusi kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’ yang berlangsung sepanjang November ini.
Mengambil kira sudut pandang agama Islam tentang isu berkenaan, OhBulan! mendapatkan perkongsian ilmu daripada pendakwah bebas, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa.
Artikel Berkaitan: Peduli S*ks: Sasarkan 100,000 Kanak-Kanak, Spot Community Project Jalin Kerjasama Dengan OhBulan! & Seismik Di Roadshow Sekolah
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Komunikasi, Jaga Penampilan, Makan & Mandi Bersama Antara Tips Kak KM Kekalkan ‘Spark’ Dalam Rumah Tangga
Penerapan pendidikan seksual
OhBulan!: Adakah ustazah setuju pendidikan seksual yang sistematik akan menjadi benteng kepada perlindungan buat anak-anak? Sekaligus memberikan satu pelajaran bermakna buat setiap lapisan masyarakat di masa akan datang.
Ustazah Norhafizah: Saya setuju, apabila kita beri pendidikan seksual yang sistematik ia sebenarnya melibatkan isu keselamatan juga. Contohnya kes culik, itu pun bermula daripada kesedaran isu-isu seksual.
Anak-anak juga kena berani mempertahankan hak dia, kalau berlaku sesuatu yang tidak baik atau ada orang yang berniat tidak baik kemudian menyentuh bahagian badan yang sensitif, dia kena berani melarikan diri dan jarakkan dirinya.
Terdapat kes sumbang mahram, mangsa kebanyakannya takut nak mengelak, contoh pak cik dia pegang dan dia hanya biar sebab takut.
Bercakap mengenai pengalaman sendiri, pendakwah berusia 48 tahun tersebut juga pernah mengambil inisiatif dengan menjemput beberapa orang panel profesional untuk memberi penerangan tentang pendidikan seksual kepada para pelajar.
Pihak sekolah juga ada yang menjemput ‘speaker’ dan pakar untuk memberi pendedahan kepada mereka. Mereka kena tahu apa yang boleh dan apa yang tidak di dalam pergaulan serta komunikasi. Saya libatkan guru dan ibu bapa supaya dapat memberikan penerangan kepada anak-anak mengenai perkara ini.
Gaya hidup bebas
Gambar sekadar hiasan
OhBulan!: Adakah ustazah setuju jika masyarakat hari ini mengaitkan pendidikan seksual dengan liberalisme? Sekaligus menyebabkan ramai yang memilih untuk tidak mempelajari perkara ini?
Ustazah Norhafizah: Ada yang terlalu mengagungkan soal kebebasan individu, mengatasi atau tidak diseimbangkan dengan penjagaan yang diketengahkan oleh Islam.
Menurut Ustazah Norhafizah, Islam memelihara penjagaan diri individu, masyarakat dan keturunan namun pemahaman liberal dilihat hanya mementingkan hak kebebasan individu.
Ada kayu ukur yang kadang-kadang tidak bertepatan dengan pandangan syarak dan di sisi Islam. Sebab itu, pendidikan seksual perlu dirujuk pandangan Islam supaya tidak keluar daripada sempadan yang dibenarkan. Nanti batas-batasnya akan terlajak.
Contohnya, saya nak keluar dengan siapa, saya punya pasal yang penting saya tidak kacau orang. Itu bukan konsep dalam Islam. Walaupun kita boleh berkata begitu, tetapi kita masih ada ibu bapa, keluarga dan semuanya saling berkait. Setiap individu dalam komuniti saling memberi impak sosial di antara satu sama lain.
OhBulan!: Dapat kita lihat ketika ini, banyak kes salah laku seksual berlaku dalam kalangan kanan-kanak. Adakah gaya hidup bebas yang dipertontonkan ibu bapa menjadi faktor kepada berlakunya masalah tersebut?
Ustazah Norhafizah: Ibu bapa memang akan mencorakkan anak, mereka memberi pengaruh yang sangat besar kepada anak-anak.
Justeru, dalam nada tegas, Ustazah Norhafizah meminta agar ibu bapa supaya menjaga tutur kata mereka selain memantau perkembangan anak-anak.
Pertama, ibu bapa perlu tunjukan teladan yang baik. Sangat menyedihkan kalau perkataan-perkataan lucah keluar daripada mulut ibu bapa.
Atau pun, ibu bapa yang membiasakan diri bergurau dengan anak-anak lalu menyentuh bahagian tubuh yang tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan. Tambahan pula, jika ibu bapa kurang pemantauan terhadap anak-anak, mereka mula bertindak sebegitu sesama adik-beradik mereka sendiri.
Sementara itu, sebagai ketua keluarga, seorang bapa perlulah menyediakan bilik berasingan bagi mengelakkan berlaku rangsangan syahwat antara anak-anak.
Apabila sampai satu peringat umur, anak lelaki tidak boleh tidur dengan anak perempuan. Larang mereka tidur sebilik. Ada pula yang terlalu biasa, mereka tidur sekatil padahal umur sudah belasan tahun. Ini adalah isu rangsangan seksual dan syahwat, walaupun itu adalah adik beradik.
Itu tanggungjawab bapa untuk sediakan sebuah rumah yang ada privasi buat anak-anak.
Sama juga kalau pulang ke kampung. Kadang-kadang kita tak jangka, bila rangsangan seksual seseorang itu terjadi.
Adab-adab juga antara perkara penting yang wajib diterapkan supaya wujudnya batas pergaulan meskipun sesama ahli keluarga sendiri.
Anak-anak kena tahu bila nak masuk bilik ibu bapa, tidak boleh main masuk sahaja. Jadi belajarlah, walaupun pintu tak berkunci, ketuk dahulu dan minta izin serta berilah salam. Supaya anak-anak tidak nampak apa-apa yang tidak sewajarnya.
Termasuk ibu bapa juga, ketika hendak menukar pakaian depan anak-anak. Pada kita, itu hanyalah anak-anak tetapi kita tidak tahu pandangan mereka bagaimana.
Perkongsian surah & batas pergaulan
Gambar sekadar hiasan
Sementara itu, Ustazah Norhafizah juga turut berkongsi surah di dalam Al-Quran yang berkait rapat dengan isu pendidikan seksual serta kepentingan menjaga batas pergaulan.
Ustazah Norhafizah: Dalam surah An-Nur, nak masuk ke rumah dan bilik kena beri salam. Antara waktu larangan pula adalah selepas waktu Zohor dan Isyak.
Bahkan kalau kita pergi rumah orang, kita bagi salam..kita jangan duduk depan pintu rumah dia. Kita kena duduk terlindung, maksudnya kalau dia buka pintu, kita tak nampak dia berada di dalam rumah. Mata tidak boleh mendahului ‘masuk’ ke dalam rumah sebelum tuan rumah buka pintu.
Dari awal lagi Islam menyeru untuk menjaga pandangan, diminta lelaki dan wanita yang baik untuk menjaga pandangan masing-masing.
Impak media sosial
Gambar sekadar hiasan
OhBulan!: Adakah media sosial juga menjadi asbab kepada pendedahan yang menyebabkan manusia sekarang ini mudah terjerumus kepada jenayah seksual?
Ustazah Norhafizah: Apabila kita sebut media sosial, ia adalah kandungan yang tidak disaring, ibu bapa kena tahu.
Tanpa disedari, media sosial sebenarnya telah membuka ruang kepada jenayah seksual dan peningkatan kes berkenaan. Oleh itu, menurut Ustazah Norhafizah, ibu bapa perlu mengawal penggunaannya terhadap anak-anak.
Kalau kita biarkan tanpa pengawalan, anak-anak kita boleh terdedah melihat bahan-bahan lucah secara sengaja atau tidak dengan lebih awal lagi.
Normalisasi dan ‘glamour’ seksualiti yang datang dari filem, muzik dan kandungan popular. Contohnya, kalau nak terkenal di sesebuah platform media, perlu ada unsur-unsur kelucahan baru ramai yang tengok.
Sebenarnya dari media sosial juga kita telah beri eksploitasi dan ‘grooming’ kepada pemangsa seksual.
Kita seronok nak kongsikan gambar anak-anak tetapi boleh jadi yang melihat itu adalah pemangsa seksual. Kita kena berhati-hati dan privasikan media sosial. Kalau secara terbuka, orang boleh kongsikan kandungan tersebut tanpa sengaja dan kita sebenarnya telah memberikan ‘makanan’ kepada pemangsa seksual.
Impak negatif media sosial ternyata turut menjejaskan keyakinan diri seseorang kerana penampilan mereka dinilai menerusi hantaran yang dikongsikan.
Tekanan sosial dan imej diri juga adalah faktor. Saya pernah berjumpa dengan seorang remaja yang sangat stress dan mengalami depresi.
Hubungan keluarga tidak baik, sebab keluarganya pernah berkata padanya, dia mempunyai ‘aset’ hanya sebesar nasi lemak 20 sen. Ini juga menjadi obsesi di media sosial, apabila ada yang tengok saiz badan dan ‘aset’.
Kejadian sebenar
Gambar sekadar hiasan
OhBulan!: Ustazah boleh kongsikan kejadian sebenar yang pernah diceritakan oleh ibu bapa tentang isu ini?
Ustazah Norhafizah: Seorang anak belasan tahun ini dia merasakan dirinya tidak cantik dan perasaannya mengatakan seolah-olah ibu bapanya tidak menerima dirinya.
Tiba-tiba ada seorang lelaki suka padanya kemudian dia hanya menerima tanpa membuat saringan (memilih) terlebih dahulu. Mereka kemudian berkhalwat dan ditangkap di rumah remaja perempuan tersebut.
Saya rasa ralat dan kesian padanya, dia baru sahaja berusia lingkungan 14 atau 15 tahun tetapi lelaki itu pun sebenarnya tidak mahu padanya. Dari segi maruah sudah tercemar, tetapi ibu bapa pun mungkin tidak sangka bahawa secara psikologinya perkara itu berlaku kerana si anak merasakan dirinya tak cantik.
Selain kebimbangan terhadap remaja perempuan, pendakwah bebas itu juga menzahirkan rasa gusar terhadap keinginan seksual songsang antara jantina yang sama terutama dalam kalangan kaum Adam.
Ada juga yang terlibat adalah individu yang boleh dipercayai, tahu ilmu agama. Dari sudut syahwat, ia adalah satu dugaan kepada manusia jadi ia boleh berlaku kepada remaja lelaki atau individu dewasa lelaki.
Islam memberikan jalan yang halal secara syarak iaitu berkahwin tetapi tidak ada jalan halal untuk sama jantina.
Kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’, yang bermula 1 November hingga 30 November ini bertujuan memupuk pemahaman dan keterbukaan mengenai isu-isu seksualiti, terutamanya dalam kalangan komuniti Melayu.
Sebuah mikrosite khas di says.com/peduliseks disediakan yang akan bertindak sebagai pusat digital kempen ini. Laman tersebut akan mengandungi pelbagai maklumat kempen, termasuk ruang untuk berkongsi cerita secara anonim dan kerjasama dengan NGO yang berkaitan.
Dengan hashtag #PeduliSeks, kempen ini juga akan memanfaatkan platform media sosial bagi meningkatkan interaksi dan menjangkau lebih ramai masyarakat.