Pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay sebak mengenangkan arwah kedua-dua ibu bapanya kerana mereka tidak dapat menyaksikan karya terbaharu lakonannya menerusi filem Baik Punya Ah-Long.
Artikel Berkaitan: 16 Jam Tak Tidur Sebab Shooting, Netizen Puji Liyana Jasmay ‘Post’ Video Makan Burger Tanpa Filter
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Makin Lama Makin Hitam, Macam Orang Kampung,’ – Liyana Jasmay Tak Kisah Kena ‘Face Shaming’
Sokongan arwah ibu & bapa
Ketika ditemui OhBulan!, Liyana gagal menahan air mata dan berkata, sebelum ini arwah ibunya akan sentiasa berada bersama dalam setiap acara dan menjadi tulang belakang kariernya.
Selalunya jika ada tayangan perdana filem saya, mesti dia akan ada dan menemani. Tetapi malam ini, mereka tidak ada dengan saya.
Menurut aktres berusia 36 tahun itu, ketika menjalani penggambaran filem berkenaan, dia dimaklumkan dengan berita bahawa bapanya menghidap kanser paru-paru.
Semasa saya sedang menjalani penggambaran filem ini, arwah ibu ada bersama tetapi ketika itu saya dapat tahu arwah ayah menghidap kanser. Jadi, ianya sangat mencabar kerana saya perlu melakonkan watak komedi.
Bercerita lanjut, Liyana memberitahu, ibu dan bapanya gembira apabila mengetahui dia kembali bekerjasama dengan Datuk Afdlin Shauki selepas 11 tahun tidak melibatkan diri dengan naskah filem.
Ibu dan ayah saya sangat teruja apabila mengetahui saya akan kembali menjalani penggambaran bersama Afdlin.
Tetapi saya sangat sedih kerana mereka tiada untuk melihat saya hari ini. Bukan untuk filem sahaja, tetapi semua kejayaan syarikat atau diri sendiri.
Mereka adalah peminat nombor satu saya.
Liyana berkata demikian pada sidang media dan tayangan perdana filem Baik Punya Ah-Long yang berlangsung di Mid Valley pada Selasa.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Cinta Bersatu itu tetap meluahkan rasa syukur kerana keperibadian arwah ibunya disenangi ramai.
Saya tetap gembira dan bersyukur apabila ramai yang bercakap tentang arwah ibu. Kemana sahaja saya pergi, mesti ramai yang berkata tentang kebaikan dirinya.
Terdahulu, bapa Liyana iaitu Allahyarham Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia pada 17 Disember 2021, manakala ibunya Allahyarhamah Datin Habsah menghembuskan nafas terakhir kerana kanser limfoma pada 12 Mei tahun lalu.
Sekadar info, Liyana memegang watak sebagai Cik Pa di dalam filem tersebut yang turut dibintangi oleh Johan, Zizan Razak, Chew Kinwah, Afdlin, Adlin Aman Ramli dan Allahyarhamah Adibah Noor. Baik Punya Ah-Long akan mula ditayangkan pada 12 September ini.
@ohbulanofficial Liyana Jasmay sebak mengenangkan arwah kedua-dua ibu bapanya kerana mereka tidak dapat menyaksikan karya terbaharu. #ohbulan #fyp #news #liyana #jasmay #sebak #kenang #ibubapa