Keputusan pengarah sensasi, Syamsul Yusof untuk bersetuju dengan tuntutan penceraian diterima baik oleh aktres, Puteri Sarah Liyana.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syamsul Yusof Setuju Nak Ceraikan Puteri Sarah
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Tak Mahu Bermusuh & Berdendam’ – Puteri Sarah
Berkat bulan Ramadan
Ketika ditemui OhBulan!, Syamsul memberitahu persetujuan itu dibuat selepas mereka bertemu pada hari Ahad ditemani sepupu dan kenalan rapat.
Kata Syamsul, 39, kata sepakat itu berjaya diputus berkemungkinan disebabkan doa-doa daripada pelbagai pihak termasuk kedua ibu bapa.
Ya saya sudah berbincang secara baik dengan Puteri Sarah dan memikirkan masa depan kami berdua dan anak-anak.
Semuanya alhamdulillah, mudah-mudahan berkat Ramadan ini, harap diselesaikan dengan baik.
Mungkin doa dari insan-insan yang tersayang. Mungkin doa ibu bapa. Saya tak mahu komen banyak-banyak, saya mahu mengelakkan fitnah di bulan Ramadan ini.
Itu saja yang saya mampu kata. Alhamdulillah, doakan yang terbaik.
Doakan
Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungan dengan Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail, pemilik nama Mohd Syamsul Mohd Yusof enggan mengulas lanjut.
Tiada komen. Doakan yang baik-baik.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 18 April ini untuk pengarah sensasi melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.
Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.
Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof.
Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.