Pempengaruh terkenal iaitu Pinn Yang idak menyangka akan dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori ‘TikTok Shop Creator Of The Year’ pada Anugerah berprestij TikTok Awards Malaysia 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), malam tadi.
Artikel Berkaitan: Che Sayang Kitchen Rangkul Gelaran ‘Creator Of The Year’, Ini Keputusan Penuh Pemenang TikTok Awards 2024
Momen bermakna
Ketika ditemui OhBulan!, Pinn Yang berkata kemenangan yang diperolehinya itu juga merupakan satu momen yang sangat bermakna buat dirinya sebagai seorang pencipta kandungan.
Sebenarnya saya tak sangka dapat memenangi anugerah ini dan ia adalah satu pengalaman dan momen yang sangat bermakna buat diri saya.
Dan kemenangan saya pada malam ini sangat berkait dengan tema iaitu ‘Realisasikan Impianmu’.
Ketika ditanya adakah kaedah selalu memberikan ‘gift’ kepada peminat menjadi faktor kemenangan, Pinn Yang memaklumkan dirinya tidak mempunyai jawapan yang spesifik kepada soalan tapi namun tidak menindakkan ia sedikit sebanyak membantunya meraih undian tertinggi.
Saya tidak pasti tetapi itu perlu tanya para peminat saya. Mungkin juga pemberian ‘gift’ itu memberikan impak dan menjadi faktor kemenangan saya.
Pinn Yang berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada TikTok Awards Malaysia 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), malam tadi.
Nak sumbang RM50k
Tambah pempengaruh berusia 31 tahun ini lagi, kemenangan yang diraih memberikan kesan yang sangat positif buatnya memandangkan baru berjinak menjadi seorang pencipta kandungan pada awal tahun lalu.
Anugerah yang saya menangi pada malam ini sangat memberikan kesan positif kepada saya di tambah pula ini adalah kali pertama saya muncul di kaca televisyen.
Ini kerana, dulu saya hanyalah individu di belakang tabir dan mula menceburkan diri dalam bidang penciptaan kandungan pada tahun lepas tetapi berjaya memenangi anugerah ini. Saya bersyukur sangat.
Dalam pada itu, Pinn Yang memaklumkan dirinya mahu menyumbang wang tunai sebanyak RM50,000 buat Yayasan Chow Kit dan bercadang mahu menganjurkan satu majlis kenduri dan beramah mesra bersama pengikut media sosialnya.
Pertama sekali, saya akan menyumbangkan wang tunai sebanyak RM50,000 mewakili para pengundi yang mengundi saya kepada Yayasan Chow Kit.
Saya juga sudah berjumpa dengan pihak mereka dan memaklumkan tentang perancangan saya ini.
Dan mungkin juga saya bercadang mahu menganjurkan satu kenduri untuk menyantuni para pengikut saya.
Terdahulu, Pinn Yang meraih undian tertinggi dan dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori ‘TikTok Shop Creator Of The Year’.
Untuk kategori ini, Pinn Yang berjaya mengalahkan lima lagi pesaing utama iaitu @almiyaz.my, @dearcarynn, @moncherilive, @nLalchemist dan @peemondayz.