Penyanyi Azharina Azhar, meluahkan rasa terharu dan terkejut apabila anak angkatnya, Rahmat Azharin Aziz melakukan satu kejutan yang sangat istimewa, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Azharina Terima Anugerah ‘Women Of Inspiration of Sabah Award 2024’
Artikel Berkaitan: Datuk Mokhzani Iktiraf Azharina Antara Penyanyi Terbaik Malaysia, ‘Teaser’ Muzik Video Lagu Baru Jadi Tanda Tanya!
Berani menyanyi depan ramai orang
Menerusi temu bual secara eksklusif bersama OhBulan!, Azharina memberitahu dia perlu hadir ke sekolah anaknya untuk memberi kata-kata motivasi kepada para pelajar tahun empat, lima dan enam bersempena minggu Bahasa Inggeris pada hari Khamis yang lalu.
Sebelum tampil memberi kata-kata motivasi, Azharina berkata, dia sangat terkejut apabila anak sulungnya itu masuk ke dalam dewan sambil menyanyikan lagu ‘You Are My Sunshine’ untuk dirinya.
Allah sahaja yang tahu perasaan saya masa itu. Saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Anak yang saya jaga dan sayang sejak lahir boleh buat kejutan yang macam itu.
Lagu ‘You Are My Sunshine’ itu merupakan lagu wajib yang saya akan menyanyi untuk mereka sebelum tidur sejak kecil. Sekarang dia menyanyikan untuk saya pula. Sebagai ibu, momen yang Rahmat buat ini saya tak akan lupa sampai bila-bila..
Tambah pelantun suara ‘Realiti’ ini lagi, ini merupakan kali pertama dia melihat Rahmat berani menyanyi di hadapan orang ramai.
Seperti yang semua tahu, Rahmat merupakan anak istimewa yang Allah hadirkan dalam hidup saya. Rahmat hidap disleksia. Jadi, kejutan yang dibuat oleh Rahmat ini sangat luar biasa. Saya sendiri terkejut kerana dia berani menyanyi di hadapan ramai orang.
Sebelum ini memang saya tahu dia boleh menyanyi. Dia akan menyanyi di hadapan orang yang dia selesa dan rapat sahaja. Itupun satu dua orang. Tapi ini dalam satu dewan. Saya sendiri tergamam. Dia boleh selamba menyanyi, pegang tangan saya dan pimpin saya sampai ke atas pentas. Terima kasih anakku. Mommy sayang Rahmat ujar Azharina kepada OhBulan!.
Ceria, penyayang dan protektif
Disoal mengenai karakter dan sifat yang ada pada diri Rahmat pula, Azharina secara ringkas menjawab anaknya itu seorang yang ceria, penyayang dan protektif.
Rahmat ini seorang anak dan abang yang sangat penyayang dan protektif. Hanya orang yang rapat sahaja dengan dia boleh nampak sifat dan karakter tersebut.
Kalau dia sayang seseorang, memang dia akan tunjuk dan ambil berat. Dari segi protektif pula, dia pantang kalau ada orang usik dan mengata mengenai ahli keluarganya. Dia tak boleh dengar orang cakap buruk pasal saya. Dia tak nak tengok semua ahli keluarga dia sedih mahupun ‘down‘.
Satu lagi istimewanya Rahmat di mata saya ialah dia pandai mengambil hati orang. Dari segi percakapan dia seorang yang sangat lemah lembut dan beradab. Ini bukan saya nak puji anak sendiri atau apa, tetapi kebanyakan rakan mahupun pembantu dan manager saya turut mengakui perkara tersebut. Di samping itu, dia sangat ceria.
Di akhir temu bual, OhBulan! sempat meminta Azharina memberi ucapan istimewa buat anaknya.
Buat Rahmat dan Redha, mereka nyawa saya. Saya doa mereka menjadi anak yang soleh, berjaya dunia dan akhirat, menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, penuh rasa cinta untuk saya, berjaya di masa hadapan dan segala yang baik untuk mereka.
Saya akan jaga amanah yang Allah beri ini sebaik yang mungkin. Selagi saya masih hidup dan bertenaga, saya akan cuba memberikan yang terbaik dan memenuhi segala permintaan mereka. Mereka kekuatan saya untuk terus hidup. Terima kasih Rahmat dan Redha.