Dua das tembakan telah dilepaskan oleh seorang pegawai polis ke arah tayar sebuah kenderaan yang disyaki dipandu pengedar dadah. Kejadian yang berlaku di Kepong semalam membuatkan polis bertindak sedemikian bagi mempertahankan diri selepas suspek cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu.
Enggan bagi kerjasama
Polis lepas tembakan ke arah tayar kereta dipandu lelaki dipercayai pengedar dadah.
Suspek memecut laju dan cuba bahayakan nyawa orang lain walaupun diarah anggota polis untuk berhenti.
Kejadian berlaku di tepi Jalan Besar Kepong, Kuala Lumpur 6.30 petang semalam. pic.twitter.com/7OHSiagqDp
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) July 21, 2020
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, kereta jenis Toyota Yaris itu telah diekori oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur dari Taman Tun Dr Ismail ke arah Jinjang.
Namun suspek enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan secara melulu ke arah pegawai polis tersebut.
Pihak polis juga telah membuat halangan dengan menahan suspek menggunakan dua buah kenderaan di hadapan dan belakang kereta suspek sebelum seorang pegawai polis meluru ke arahnya dengan menunjukkan kad kuasa polis sebelum suspek melarikan diri.
Guna kereta sewa
Polis kemudiannya melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek demi mempertahankan diri serta mahu memberhentikan kenderaan tersebut supaya tidak membahayakan orang awam
Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mengelakkan berlakunya kecederaan pada orang awam yang berada di sekeliling kawasan tersebut. Suspek yang berjaya melepaskan diri itu masih dikesan oleh pihak polis.
Menurut ketua polis, kereta yang dipandu suspek didaftarkan di atas nama sebuah syarikat sewaan kereta hasil dari siasatan awal pihak polis dan kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Orang ramai juga diminta memberi kerjasama jika mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999.
Sumber : Sinar Harian