Penyampai radio Hot FM, Ayu baru-baru ini mendedahkan tentang kisah sebenar mengenai latar belakang dan status dirinya sebagai seorang anak angkat dalam keluarga.
Artikel Berkaitan: #BestiesPapeRoger: Ayu Hot FM Dedah Status Anak Angkat, Pernah Lalui Fasa Kemurungan
Fokus kepada kehidupan sekarang
Menurut Ayu, selepas mengetahui kebenaran dia telah memilih untuk memberi tumpuan kepada ibu bapanya dan tidak lagi mencari tentang identiti dirinya yang sebenar kerana banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan sepanjang membesarkannya.
Dia masih berkata saya anaknya sehingga sekarang. Tak pernah sekali pun dia cakap saya adalah anak orang lain. Daripada itu saya sedar, kalaulah sebegini besar pengorbanan dia untuk mengatakan dia sayang saya, jadi saya perlu faham juga situasi dia.
Saya sedar yang saya tak perlu cari kebenaran. Saya tolak tepi kenyataan yang saya adalah anak angkat dan fokus saya adalah untuk buat mereka gembira.
Dalam pada itu, Ayu berkongsi bahawa keluarganya kini lebih terbuka untuk membincangkan perkara tersebut berbanding dahulu.
Keluarga kami tak pernah ada perbincangan dari hati ke hati tentang perkara ini. Bila saya makin membesar, saya sedar bahawa ada perkara yang tak perlu pun untuk kita bercakap tetapi kita sudah mengetahui.
Sekarang ini, kami sudah boleh berbincang tentang perkara ini secara terbuka dan saya akan meminta izin kepada mereka untuk berkongsi kisah kami terlebih dahulu.
Ayu berkata demikian ketika ditemui OhBulan! semasa temu bual program Show Dalam Bilik.
Ketika disoal tentang keadaannya sekarang, Ayu berkata dia sudah menerima semua takdir dan ketentuan tuhan dengan seikhlas hati walaupun terpaksa telan pahitnya kebenaran.
Sejujurnya, buat masa sekarang ini saya dah terima segalanya yang terjadi kepada saya. Saya reda. Apabila saya nampak pengorbanan abah dan ibu, saya rasa tak ada benda yang lagi penting selain saya mengetahui saya adalah anak mereka.
Untuk info, OhBulan! penyediakan platform untuk anda lebih memahami tentang kesihatan mental dengan layari www.ohbulan.com/bestiespaperoger. Banyak artikel-artikel yang boleh dibaca atau join TikTok live kami untuk maklumat lanjut.