Disebabkan bunyi motosikal dipercayai terlalu bising, dua orang suspek bertindak memasukkan sebuah motosikal ke dalam longkang dan membakar kenderaan tersebut.
Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Aman Tambahan Puchong itu dilaporkan pengadu seorang remaja berusia 19 tahun setelah motosikalnya rosak dan ditinggalkan di lokasi sebelum dia pulang ke rumah untuk mengambil alat ganti yang baru. Tetapi, sebaik saja tiba di lokasi tadi, dia terkejut dan berang motosikalnya sudah dibakar.
Motosikal rosak, pulang ke rumah ambil alat ganti
Menurut laporan Polis Daerah Subang Jaya, remaja itu meninggalkan motosikalnya di tepi jalan buat seketika waktu kerana mengalami kerosakan pada pedal gear. Dia pulang ke rumah untuk mengambil alat ganti motosikal berkenaan untuk dibaiki.
Apabila kembali semula ke tempat tersebut dapati motosikal itu sudah berada di dalam longkang dan sedang terbakar. Remaja berkenaan telah meminta bantuan jiran untuk memadamkan api.
Kemudian dia menerima sebuah video dari Whatsapp daripada kenalannya di mana video memaparkan motosikal itu berada di dalam longkang dan terdapat lelaki yang memegang sebilah parang telah menyalakan api dan dihalakan ke motosikal.
Motosikal dibakar
Dipercayai selalu buat bising dan berlumba .
Motosikal remaja 19 tahun yang ditinggalkan ditepi jalan kerana rosak dibakar dua lelaki.
Kejadian berlaku di Jalan Aman Tambahan Puchong, 6.30 ptg,18 Jan lepas.
Lelaki 24 dan 39 tahun ditangkap untuk siasatan.
Video : Orang Awam pic.twitter.com/y1qTt0vmMz
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) January 24, 2021
Susulan laporan yang dibuat remaja terbabit, pihak polis telah memberkas dua lelaki yang dipercayai telah membakar motosikal berkenaan. Dilaporkan suspek bertindak demikian kerana remaja terbabit telah membuat bising dan berlumba di kawasan tersebut dengan menaiki motosikal.
Remaja berkenaan turut dilaporkan mengalami kerugian dari kerosakkan motosikal sehingga RM1,000.00. Bagaimanapun, siasatan bagi kes ini masih dijalankan.
Sumber: Mohd Redzuan, Polis Daerah Subang Jaya