Pelakon dan penyanyi Fazura makin aktif dengan perniagaan tudung keluarannya, Tudung Fazura. Siapa yang tidak tahu dengan tudung Fazura, setiap kali melancarkan koleksi terbaru pasti mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.
Artikel Berkaitan: Jualan Tudung Cecah Jutaan Ringgit, Fazura Tak Pernah Fikir Status Jutawan
Belanja beg mewah
@sonichussienFazura juga belanja saya beg ?! Terima kasih? original sound – DJ SONIC HUSSIEN
Terbaru, nama Fazura menjadi sebutan ramai selepas berkongsi rezeki dengan staf-staf yang setia menjadi tulang belakang.
Menerusi akaun TikTok @sonichussien, aktres berumur 39 tahun itu dilihat menghadiahkan beg berjenama mewah kepada pekerjanya namun tidak diketahui seramai berapa orang.
Difahamkan, pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin yang ditemani suami tercinta, aktor Fattah Amin menghabiskan puluhan ribu ringgit sebagai tanda menghargai usaha keras dan tenaga yang telah diberikan.
Penyampai radio DJ Sonic yang sering menjadi pengacara majlis Fazura antara individu bertuah menerima beg yang bukan calang-calang harganya untuk setiap unit.
Tak pernah tunjuk kemewahan
Di ruangan komen, rata-rata warganet kagum dengan sifat peribadi pelakon filem Pisau Cukur yang bermurah hati berkongsi rezeki.
Malah, ada peminat yang memuji dengan sikap ibu Nur Fatima Aisya yang tidak gemar menayang kemewahan di media sosial.
Sehingga artikel ini ditulis, video itu sudah mendapat lebih 60,000 tontonan dan 90 komen.
Sumber: TikTok @sonichussien