Pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad menjawab desas-desus yang mengatakan dia dan rakan baiknya yang juga merupakan pelakon, Nad Zainal bermasam muka dan tidak bertegur sapa.
Artikel Berkaitan: Paru-Paru Tak Cukup Kuat, Nad Zainal Ditidurkan Semula
‘Sibuk dengan kerja masing-masing’
Ketika ditemui OhBulan!, Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 38, berkata, dia dan Nad Zainal tidak mempunyai sebarang masalah cuma tidak menolak kesibukkan kerja menjadi faktor mereka tidak berhubung untuk sekian lama.
Kali terakhir saya berhubung dengan dia pada waktu sebelum dia berkahwin. Saya sibuk dan dia pun sibuk jadi kami tak sempat lagi nak berinteraksi sesama kami.
Tetapi saya masih lagi berhubung dengan ibu bapa dia cumanya dengan dia saya masih belum berhubung lagi.
Pada saya sebab masing-masing pun dah ada tanggungjawab, dah ada kebahagiaan masing-masing. Saya dengan tugas saya dan dia dengan tugas dia.
Tapi saya sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesihatan dia daripada jauh. Kami kenal dari usia kami 17 tahun lagi.
Sherry berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media dan tayangan perdana drama B.A.R.I.S.T.A: Misi Terpaling Sulit yang diadakan di DADI Cinema Pavillion Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Sherry mengatakan bahawa sebagai seorang kawan baik, dia sangat gembira melihat kebahagiaan yang dikecapi Nad Zainal lebih-lebih lagi selepas dia mula sihat dan berumah tangga.
Saya sangat gembira sebab dia pun dah menemui kebahagiaan dia, dia pun bakal menimang cahaya mata yang baharu nanti.
Berkat doa dan juga usaha kawan-kawan yang membantu ketika beliau memerlukan tu saya rasa bersyukur.
Sebagai seorang sahabat, itulah tugas kita. Maksudnya bukan dalam senang je, ketika susah tu apa yang kita boleh bantu.
Sekadar info, Nad Zainal dimasukkan ke hospital dan ditidurkan akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada November yang lalu.
Susulan itu, ramai rakan artis termasuk Sherry serta peminat melancarkan Tabung Kecemasan Nad Zainal bagi membantu memudahkan urusan pelakon tersebut dan keluarganya menguruskan segala hal berkaitan dengan rawatannya.