Membawakan watak seorang ustaz bukan sekadar soal penampilan dan dialog buat pelakon Indonesia, Arya Saloka.

Artikel Berkaitan: Rumah Tanpa Cahaya Angkat Kisah Kehilangan Ibu, Goncang Hubungan Sebuah Keluarga

Artikel Berkaitan: Tak Mahu Kes Saman ‘Munafik 2’ Berulang, Syamsul Yusof Beri Peringatan Jangan Muat Naik Visual Filem Terbitannya Di Media Sosial

‘Terkedu dengan bacaan Syamsul’ – Arya Saloka

Demi menghidupkan watak Ustaz Adam dalam filem Munafik: Melawan Iblis, Arya mengambil masa untuk memantapkan semula bacaan al-Quran selain mempelajari ilmu rukyah daripada seorang ustaz yang berpengalaman.

Arya berkata, walaupun sudah boleh membaca al-Quran sebelum ini, dia tetap memilih untuk mengulang semula asas bacaan bagi memastikan sebutan huruf, tajwid dan pelafalannya lebih tepat ketika menjayakan watak berkenaan.

Alhamdulillah saya sudah boleh mengaji sebelumnya dan boleh membaca al-Quran sebelumnya.

Tetapi selepas guru saya menonton filem Munafik dan beritahu saya, ‘Masya-Allah Ustaz Adam Malaysia (Syamsul Yusof) bacaan Quran-nya bagus sekali’.

Mengetahui perkara itu, saya termotivasi untuk belajar dengan mengulangi semula dari Iqra’ untuk memantapkan lagi tajwid serta penghafalan saya.

Arya berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Munafik: Melawan Iblis di TGV, Suria KLCC, pada Rabu.

Bukan setakat bacaan, persediaan Arya turut merangkumi ilmu rukyah bagi memastikan babak-babak berkaitan dalam filem tersebut dapat dilakonkan dengan lebih meyakinkan.

Sebelum penggambaran, kami ada jalani sesi latihan selama dua bulan.

Sekitar dua bulan juga saya ambil masa untuk mantapkan bacaan dan lakonan. Saya memang gunakan waktu itu sebaik mungkin lebih-lebih lagi untuk belajar kembali tentang Al-Quran.

Dapat bimbingan ustaz mahir

Malah, Arya mengakui dia bertuah kerana mendapat bimbingan daripada seorang ustaz yang mahir dalam bidang al-Quran dan rukyah sepanjang tempoh persediaan.

Saya ada tenaga pengajar iaitu seorang ustaz yang sangat mahir dalam bidang al-Quran dan rukyah.

Jadi saya banyak belajar dengannya untuk memantapkan bacaan dan bagaimana untuk merukyah.

Bagi Arya, antara cabaran yang perlu ditempuhi adalah menghafal ayat-ayat suci al-Quran untuk keperluan penggambaran.

Walaupun mengakui proses itu agak mencabar, dia bersyukur segala urusan dipermudahkan sepanjang persediaan.

Cukup berat, tapi Allah mudahkan. Alhamdulillah.

Selain Arya, filem ini turut menampilkan Acha Septriasa, Dimas Aditya, Nova Eliza, Izabel Jahja, Widi Dwinanda dan Oce Permatasari.

Munafik: Melawan Iblis merupakan terbitan Unlimited Production dan Skop Productions dengan sokongan Legacy Pictures, AZ Films serta Komet Productions. Astro Shaw pula bertindak sebagai rakan pemasaran di Malaysia.

Filem yang mengisahkan perjuangan Ustaz Adam dalam usaha menyelamatkan seseorang daripada jeratan iblis itu sudah menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 1 Oktober ini.