Pelakon dan pengacara, Jaafar Onn akui terkesan dengan pemergian sahabat baiknya, Allahyarhamah Rohana Jalil yang menghembuskan nafas terakhir lewat malam Selasa.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kilafairy Reda, Akan Merindui Lontong & Laksa Air Tangan Rohana Jalil
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Pernah Ajak Buat Pemeriksaan, Dia Tak Mahu’ – Suami Rohana Jalil
40 tahun kawan
Ketika ditemui OhBulan!, Jaafar yang mempunyai ikatan saudara dengan arwah berkata dia tidak akan melupakan semua kenangan yang pernah dilakukan bersama.
Malah, Jaafar akui senang berkawan dengan arwah selama hampir 40 tahun berkenalan.
Dia adalah seorang sahabat yang sangat memahami siapa diri saya. Dalam ramai-ramai artis popular, hanya dia sahaja yang mahu berduet dengan saya.
Sedangkan yang lain pandang serong. Dia juga suka sangat masakan asam pedas yang saya masak.
Kehilangan arwah itu memang lebih terasa. Saya dengan dia memang sangat rapat dan rumah kami pun dekat. Kami selalu juga keluar makan bersama
Sebagai kawan baik, saya langsung tak pernah ambil hati dengan apa yang dia cakap. Saya anggap itu gurauan. Kami dah kenal hampir 40 tahun, dia tahu siapa diri saya.
Jafaar berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai proses pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, pada Rabu.
Sementara itu, pelakon yang popular menerusi drama Cili Padi itu juga menyifatkan arwah sebagai seorang penyanyi yang profesional.
Masa dia sakit saya pernah pesan dekat dia kenapa masih datang buat show. Dia jawab saya dah bagi dia kerja, janji perlu dipenuhi tak boleh tolak. Sangat profesional.
Walaupun waktu itu dia jalan pun dah susah, nyanyi sambil duduk tetap saya kagum dengan dia.
Terdahulu, Allahyarhamah Rohana Jalil atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kira-kira jam 11.33 malam Selasa.
Rohana yang popular menerusi lagu Rayuanku itu telah dirawat di hospital sejak April lalu disebabkan kebocoran usus dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.
Untuk info, arwah mendirikan rumah tangga dengan Jahangir Khan pada 1984 dan dikuniakan tiga orang cahaya mata termasuk pelakon dan penyanyi, Kilafairy.