Pelakon dan penyanyi, Kilafairy reda serta pasrah dengan pemergian arwah ibu tercinta, Rohana Jalil, 68, yang telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.33 lewat malam Selasa.
Artikel Berkaitan: Penyanyi Rohana Jalil Meninggal Dunia
Artikel Berkaitan: Rakan Artis Anjurkan Bacaan Yasin – ‘Tahap Oksigen Rohana Jalil 65%’
Kilafairy reda
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama penuh, Syakila Nisa Jahangir Khan, bagaimanapun bersyukur apabila dapat melaksanakan tugas sebagai anak dengan memandikan dan menyempurnakan pengebumian ibunya.
Alhamdulillah, mama pergi dalam keadaan baik dan semuanya dipermudahkan. Malah, mama juga pergi dalam keadaan tersenyum.
Semestinya saya bersedih dengan pemergian arwah, namun hasil didikan kedua ibu bapa, saya reda dengan suratan dan ketentuan Allah SWT.
Saya berada di sisi mama dari awal sehinggalah semuanya berakhir. Malah, saya berada di sisi sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir. Saya juga berkesempatan untuk memandikan jenazah.
MasyaAllah pengalaman itu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin itu juga yang membuatkan saya lebih tenang berdepan dengan ujian ini.
Kila berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai proses pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, pada Rabu.
Dalam masa sama, Kila berkata dia ketika ini masih belum bersedia untuk berkongsi mahupun memuat naik sebarang perkongsian di media sosial berhubung pemergian ibunya.
Bukan sekarang, mungkin dalam dua tiga hari lagi. Saya begitu terharu dengan kata-kata positif yang diberikan oleh semua pihak.
Malah, pada hari ini juga saya tidak sangka ramai datang memberikan penghormatan terakhir buat arwah mama. Saya sedia maklum, arwah juga memang mempunyai hubungan yang baik dengan rakan-rakan media.
Saya memang begitu, fokus pada sesuatu perkara pada satu masa. Mungkin dua tiga hari lagi baru saya muat naik perkongsian di media sosial.
Kenangan bersama
Tambah aktres itu lagi, banyak kenangan yang dicipta bersama sekali gus akui pemergian ibu pasti meninggalkan impak yang mendalam buat dirinya. Apatah lagi, dia sememangnya rapat dengan ibunya.
Saya belum mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama ibu bapa, semestinya saya rapat dengan mereka. Banyak momen indah yang dikongsikan bersama mereka.
Masakan mama adalah perkara yang paling saya rindui. Antaranya adalah lontong, laksa Johor dan banyak lagi.
Terdahulu, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.
Allahyarhamah telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kira-kira jam 11.33 malam Selasa.
Rohana Jalil telah dirawat di hospital sejak April lalu disebabkan kebocoran usus dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.
Media juga melaporkan bahawa jantung Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil bila-bila masa sahaja boleh terhenti kerana jangkitan kuman telah merebak ke beberapa organ dalaman.
Untuk info, arwah mendirikan rumah tangga dengan Jahangir Khan pada 1984 dan dikuniakan tiga orang cahaya mata termasuk pelakon, Kilafairy.
Video
@ohbulanofficial Replying to @Melymell78 Salam takziah buat semua ahli keluarga..#ohbulan #news #fyp ? original sound – OHBULAN!