Setiap antara kita pasti akan menghadap Ilahi. Amalan yang dilakukan di dunia ini akan dibawa sebagai ‘penilaian’ disana kelak. Dimana, bagaimana dan bila masih menjadi persoalan.
Perkongsian kisah menguruskan jenazah melalui Facebook seorang pendakwah bebas iaitu Muhammad Rafieudin sememangnya mencemburi kita semua. Ketika menguruskan jenazah, dia melihat wajah ketiga-tiga dari mereka tersenyum manis dan wajah berseri.
Untung melihat 3 jenazah ini tersenyum
Alhamdulillah, semalam (1 Jun 2020) rezeki kami dapat menguruskan 3 jenazah di Hospital Serdang. Kesemuanya jenazah lelaki dewasa. Paling menakjubkan ketiga-tiga jenazah ini kelihatan jelas tersenyum! Allahuakbar!
Kes pertama merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun dan bekerja di sebuah kilang. Arwah meninggal dunia kerana penyakit jantungnya. Dia dimasukkan ke hospital selama 2 hari. Arwah meninggalkan seorang isteri dan mereka tidak mempunyai anak.
Saat saya membuka kain yang menutup wajahnya, kami terkejut melihat wajah arwah yang tersenyum lebar seolah melihat sesuatu yang cukup indah. Masya’Allah! Saya segera memanggil isterinya dan abang kandung arwah.
“Cuba akak dan abang tengok muka arwah ni, senyum lebar. Subhanallah.” Kata saya kepada waris-warisnya itu.
“Allahuakbar. Beruntungnya arwah ustaz. “Kata abang arwah kepada saya sambil menutup wajahnya yang mula laju mengalirkan air mata. Isteri arwah tidak mampu berkata apa-apa dan hanya menangis sahaja. Jenazah arwah dibawa pulang ke Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya dan disemadikan di sana.
Kehadiran ramai saudara, jiran tetangga
Kes kedua merupakan seorang lelaki berusia 39 tahun dan bekerja di pejabat UMT, Putrajaya. Arwah dikatakan menghidap penyakit darah tinggi dan terjatuh dalam bilik air rumahnya. Dia meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak yang masih kecil berusia lingkungan 1 hingga 9 tahun.
Wajah arwah juga seakan tersenyum manis dan yang paling mengharukan adalah kehadiran begitu ramai sanak-saudara, jiran tetangga dan para sahabat arwah yang hadir menziarahi jenazahnya.
Sebelum wajah arwah ditutup dengan kain kafan, kami memberi ruang untuk ahli keluarga arwah serta yang hadir bagi menatap wajah arwah untuk kali terakhir.
Situasi yang paling menyedihkan apabila ketiga-tiga anak arwah yang masih kecil mencium wajah ayah mereka untuk kali terakhir. Anak perempuan sulung arwah berusia 9 tahun hanya diam seribu bahasa seolah masih tidak mengerti apa yang berlaku ketika itu.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada balu arwah serta anak-anak mereka dalam menghadapi liku-liku kehidupan yang mendatang. Jenazah arwah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam UPM, Serdang untuk disemadikan di sana buat selamanya.
Wajah cukup tenang
Kes ketiga pula merupakan seorang anggota tentera yang bertugas di Kem Sungai Besi. Arwah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya melibatkan lima buah kenderaan pada awal pagi semalam ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya. Kami membantu pasukan KAGAT ATM yang diketuai Ustaz Johari dari Kem Kajang bagi menguruskan jenazah arwah.
Wajahnya cukup tenang dan juga kelihatan tersenyum manis kepada kami. Ramai sahabat arwah bergilir-gilir membantu menguruskan jenazah arwah.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Kem Sungai besi untuk disolatkan dan upacara istiadat tanda penghormatan dari pasukan ATM sebelum jenazah dibawa pulang ke Kuala Nerang, Kedah untuk disemadikan di kampung halamannya.
Allahuakbar. Begitu beruntung kami pada hari ini melihat wajah-wajah yang sangat dicemburui. Entah apalah amalan mereka sehingga dikurniakan wajah yang tenang ketika mereka berhadapan dengan kematian. Demi Allah, itulah di antara tanda-tanda husnul khotimah yang Allah tunjukkan kepada kami agar menjadi iktibar dan manfaat berguna buat kita yang masih hidup.
Semoga kita juga dikurniakan kematian yang sebegitu. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh dan semoga kita semua juga dikurniakan husnul khotimah di penghujung usia kita. Aamiin.. Alhamdulillah. Syabas Skuad!
Untuk sumbangan sila salurkan ke akaun rasmi pertubuhan: PERTUBUHAN SKUAD PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA (PPM-026-14-24012018). CIMB: 8603-48-9285 atau BSN: 1410-0410-0030-6186.
Sumber: Muhammad Rafieduin