Beberapa foto seorang ahli perniagaan kosmetik mengerjakan umrah mendapat perhatian ramai. Foto berkenaan menyaksikan ahli perniagaan itu berpakaian menyerupai wanita dengan mengenakan telekung solat ketika berada di Tanah Suci. Malah, ramai mempersoalkan terhadap tindakannya itu adalah kurang sopan dan tidak wajar sedangkan ahli perniagaan tersebut berpakaian menyerupai lelaki sebelum berangkat mengerjakan umrah.
Penceramah bebas, Syed Shahridzan menerusi laman Facebook peribadinya mengeluarkan pendapat terhadap tindakan yang telah dilakukan ahli perniagaan itu dan sudah pastinya menjadi tanda tanya dalam fikiran kita.
Mengerjakan umrah berdasarkan hukum asal jantina
Penceramah bebas iaitu Syed Shahridzan turut menjelaskan hukum dan cara-cara beretika sekiranya golongan mak nyah ingin ke Kota Suci bagi mengerjakan Umrah. Mereka perlu mematuhi dan menghormati kesucian Tanah Haram dengan memakai pakaian yang sopan mengikut fitrah kejadian.
Tahun lepas saya pernah dihubungi oleh 2 wakil syarikat agensi umrah tanah air, mereka bertanya apakah hukum mereka membawa golongan mak nyah untuk mengerjakan umrah. Ini kerana 2 syarikat ini telah didekati oleh golongan ini untuk menguruskan ibadah umrah mereka.
Respon saya, hukumnya harus dan mereka layak untuk mengerjakan ibadah umrah selagi mereka Muslim. Namun, pihak agensi perlu meletakkan beberapa syarat penting yang mana golongan ini wajib mematuhinya. Antara syarat yang wajib tunaikan, perserta dari golongan mak nyah wajib mengerjakan umrah berdasarkan hukum asal jantina mereka iaitu lelaki bukan sebagai wanita.
Untuk mengelakkan payudara tiruan mereka kelihatan oleh orang awam ketika memakai kain ihram, maka mereka diwajibkan memakai kain bengkung yang tidak berjahit. Mereka bukan sahaja hanya wajib berihram seperti lelaki malah wajib berpakaian lelaki di Mekah dan Madinah demi menghormati kesucian kedua-dua Tanah Haram. Mereka tidak boleh berpakaian seperti perempuan walaupun bertudung atau bertelekung.
Agensi bersubahat atas perkara mungkar
Selain itu, sekiranya tindakan ini berlaku pihak agensi perlu bertanggungjawab kerana hal demikian akan mengundang kecaman dari pelbagai pihak sekaligus mencalarkan reputasi.
Golongan mak nyah ini juga wajib mengerjakan ibadah di ruang solat lelaki, begitu juga tandas yang ingin digunakan mestilah tandas lelaki. Bahkan agensi wajib memastikan bilik penginapan mereka tidak boleh bercampur dengan wanita tulen.
Jika mana-mana agensi umrah tidak menitik beratkan syarat-syarat tersebut atau membiarkan mereka beraksi sama seperti keadaan mereka di tanah air iaitu seperti perempuan, maka ini bermakna pihak agensi telah bersubahat atas perkara mungkar yang dibiarkan berlaku di Tanah Suci. Bagi saya ini satu penghinaan yang dilemparkan ke atas kedua-dua tanah haram yang mulia.
Peringatan dari saya kepada pihak agensi jika kelakuan mungkar ini jika tidak dibendung atau dibiarkan ia akan menjadi penyebab reputasi dan nama baik agensi itu tercalar, malah akan menerima kecaman dari orang ramai.
Sekarang visa umrah boleh didapati dengan dua cara, samaada visa umrah atau visa pelancong. Jika melalui visa umrah para peserta umrah mesti melalui syarikat agensi umrah yang berdaftar. Manaka visa pelancong tidak wajib melalui agensi bahkan boleh urus dan pergi umrah sendiri. Berita di bawah ini saya tidak pasti metod mana satu yang digunakan oleh peserta umrah ini, sama ada ikut agensi atau pergi sendiri.
Sampai di sana bertukar pakaian perempuan
Malah, di ruangan komen posting individu ini turut dinyatakan oleh pengguna Facebook Ustaz Muhammad James Baven yang baru sahaja mendapat maklumat. Di mana usahawan kosmetik itu berpakaian lelaki bersama kumpulannya sebelum berangkat umrah. Setelah tiba di sana, mereka menukar pakaian wanita dengan mengenakan telekung dan berhijab.
Sumber: Syed Shahridzan