Wangi Julianda Indra Meida, 23 berasal daripada Bandung, Indonesia bukan satu nama yang baru dalam dunia seni tanah air. Anak sulung daripada dua beradik ini mula menjejakkan kaki ke sini apabila diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang ahli The Fabulous Cats dan sempat merakamkan lagu, antaranya berjudul Kosmik Cinta bersama kumpulan tersebut.
Apakan daya, jodoh Wangi bersama kumpulan berkenaan tidak panjang kerana kontraknya bersama syarikat rakaman, Alibi Music dan The Fabulous Cats sudah tamat. Cabaran sedemikian tidak sesekalipun mematahkan semangat Wangi, dan kali ini beliau menjenamakan semula namanya sebagai penyanyi solo dengan pelancaran single terbaru berjudul, Lara ciptaan Sahid Nitrus.
Graduan Pengurusan Pemasaran & Perniagaan dari Universiti Pdjajaran, Bandung ini tidak menolak seandai rezekinya di bumi Malaysia lebih melimpah ruah daripada tempat kelahiran asalnya. Berkata kepada OHBULAN!, “Bukan mudah untuk mencipta nama di sana, apatah lagi ramai pula orang yang ingin menjadi penyanyi sehingga persaingan menjadi amat sengit.”
Tambahnya lagi, “Cat Farish pernah memberikan platform kepada saya untuk tampil di hadapan penonton Malaysia ketika bersama The Fabulous Cats dulu, jadi apa salahnya jika saya gunakan pengalaman tersebut untuk mengorak langkah sebagai penyanyi solo pula.”
Bercerita mengenai single terbarunya, Wangi berkata lagu ini membawa mesej mengenai seorang wanita menagih kasih bekas teman lelaki untuk kembali ke pangkuannya.
“Lagu ini pula telah dijadikan OST untuk sebuah filem berjudul, Mantera dan akan dilancarkan ke seluruh Malaysia pada 8 Mei 2012,” ujarnya.
Melalui hashtag Twitter #TanyaWangi, anda berpeluang menanyakan soalan panas kepada beliau sama ada mengenai kerjaya atau pun cerita cintanya. Apa lagi, layangkan soalan anda sekarang di #TanyaWangi