Wanita yang menyebarkan video mendakwa dua orang pekerja sebuah syarikat bas ekspres bercium ketika membawa penumpang tampil membuat permohonan maaf menerusi TikTok.
Artikel Berkaitan: Dakwaan Pemandu Bas Bercium Tidak Benar, Penumpang Jadi Saksi Cerita Hal Sebenar – ‘Fitnah! Menjawablah Korang Kat Sana’
Akui kekhilafan
Menerusi hantaran yang dimuat naik, individu yang dikenali sebagai Iffah Danisha itu mengakui kekhilafannya merakam serta memuat naik video tersebut tanpa pengetahuan dan kebenaran dua pekerja syarikat bas berkenaan.
Saya dengan rendah diri memohon maaf berkenaan posting saya sebelum ini membabitkan dua pekerja sebuah syarikat bas di Johor.
Saya mengaku kesalahan saya kerana telah menyiarkan imej mereka tanpa kebenaran dan seharusnya berhubung dan membuat laporan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan mereka. Tuduhan bercium seperti yang disebut di dalam posting saya itu tidak benar.
Khilaf saya kerana tidak memastikan kejadian tersebut adalah benar atau tidak. Saya mengaku telah melakukan banyak salah faham dan kekeliruan ke atas ramai pihak.
Tambah individu itu lagi, dia juga sudah berjumpa dengan pihak pengurusan sebelum video yang dimuat naiknya itu tular dan menyelesaikan isu tersebut dengan cara baik.
Dia juga memaklumkan sudah memadam posting yang dimuat naiknya itu.
Sebelum perkara ini telah viral, perkara ini telah pun berjaya diselesaikan bersama pihak pengurusan mereka secara baik. Saya telah pun delete segala posting dan memohon pihak-pihak lain untuk take down atau tidak terus menularkan video tersebut.
Di akhir hantarannya, wanita itu sekali lagi memohon maaf kepada kedua pekerja itu atas perbuatan yang dilakukannya sehingga mendatangkan fitnah dalam kalangan netizen.
Terdahulu, tularnya video yang mendakwa seorang pekerja lelaki sebuah syarikat bas ekspres bercumbu dengan pemandu utama yang merupakan seorang wanita.
Namun begitu, seorang individu yang mendakwa dirinya salah seorang penumpang menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan bahawa pekerja lelaki tersebut sedang memperbetulkan sesuatu di bahagian kotak radio yang terletak di belakang kerusi pemandu wanita terbabit.
Sumber: TikTok