Hati mana tak sedih dan luluh apabila mengetahui diri dirogol oleh lelaki durjana. Kejadian yang berlaku di Cheras itu mengakibatkan wanita tersebut nekad untuk membunuh diri dengan menelan 20 biji paracetamol. Walau bagaimanapun, kejadian itu disedari oleh rakan serumah mangsa.
Nekad bunuh diri
Menerusi laporan Harian Metro, seorang wanita berusia 24 tahun tertekan dirinya menjadi mangsa rogol menyebabkan dia bertindak cuba membunuh diri dengan memakan 20 biji paracetamol. Bagaimanapun mangsa terselamat selepas perbuatannya itu disedari rakan serumah yang kemudian membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu turut membuat laporan polis Ahad lalu menyatakan kejadian rogol itu berlaku pada 4 September lalu.
Dirogol rakan kepada rakan
Menurut mangsa kejadian berlaku ketika dia berada di dalam bilik sebelum diceroboh lelaki dikenalinya yang juga rakan kepada teman serumahnya.
Rumah itu didiami empat wanita bujang dan akibat kejadian itu mangsa yang tertekan sehingga bertindak memakan 20 biji paracetamol. Doktor yang merawatnya juga sudah membuat laporan polis dan mangsa kini stabil dan dibawa pulang ke kampung keluarganya di Johor.
Tambah Nik Ros Azhan lagi, mangsa tidak mengalami kecederaan dan kita juga mengambil keterangan rakan serumah bagi membantu siasatan.
Suspek sudah dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sumber : Harian Metro