Hanya disebabkan soalan ‘kamu anak siapa?’, seorang remaja bertindak menetak tangan seorang warga emas dengan sebilah parang. Menurut laporan Harian Metro, difahamkan suspek remaja berusia 15 tahun itu berasa bengang dengan soalan yang diajukan mangsa sebelum bertindak demikian.
Suspek tidak bercakap apa-apa
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu iaitu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit memaklumkan kejadian tersebut berlaku pada sekitar 8.30 pagi ketika warga emas itu sedang mencabut rumput berhampiran longkang di rumahnya sebelum didatangi suspek.
Suspek datang dari arah kebun di tepi rumah mangsa dan terus menetak tangan wanita itu dan mencucuk leher mangsa menggunakan parang. Suspek tidak bercakap apa-apa dan mangsa yang ketakutan menjerit sebelum melarikan diri.
Marah kepada mangsa
Kejadian tersebut disedari suami mangsa dan dia segera menghubungi pihak polis. Suspek bagaimanapun telah ditahan di rumahnya terletak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa di Sungai Naman, Durin.
Mangsa mengalami luka di leher, lengan kanan, jari tangan, dada dan lutut. Polis turut merampas parang digunakan suspek. Serangan suspek terhadap mangsa dipercayai disebabkan marah kepada wanita itu kerana bertanya “kamu anak siapa?” ketika suspek melalui belakang rumahnya pada 29 Januari lalu.
Menurut laporan dari mangsa, suspek lelaki itu masih bersekolah dan merupakan anak bongsu daripada lima beradik manakala ibu bapa sudah bercerai.
Sumber: Harian Metro