Kalau mahu diikutkan, sepatutnya Yuna sudah layak dianugerahkan dengan darjah-darjah kehormat ataupun gelaran Dato’. Apa tidaknya, sedangkan Shah Rukh Khan yang hanya mengadakan penggambaran di Melaka boleh, kenapa Yuna tidak pula, kan?
Bukan sekali, tapi ini merupakan kali ketiga Yuna dicalonkan dalam anugerah yang bertaraf antarabangsa apabila sebelum ini pernah tercalon dalam 25th Nickelodeon Kids’ Choice Awards dan juga MTV Iggy’s Best New Bands in the World.
Kali ini, untuk seorang anak seni yang terus maju dan membawa nama Malaysia, Yuna telah mendapat peluang yang lebih membanggakan apabila dia tercalon dalam MTV European Music Award (EMA) 2012 untuk kategori “Best Asian Act”. Bukan alang-alang saingan Yuna, anugerah yang akan diadakan di Frankfurt, German, akan turut menyaksikan penyanyi kelahiran Alor Setar ini bersaing bersama Super Junior, EXILE, Han Geng & Jolin Tsai.
OHBULAN! rasa, satu Malaysia sudah kenal siapa Yuna ataupun Yunalis Zarai ini kan? Jadi apa tunggu lagi, anda boleh klik laman web rasmi MTV EMA 2012, dan undi bermula dari sekarang sehingga 9 November 2012. Undilah seberapa banyak kali pun. Kalau bukan kita, siapa lagi, kan?