Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mendedahkan lagu nyanyian kumpulan Kopratasa yang berjudul ‘Permataku’ mempunyai seribu satu makna dalam kehidupan rumah tangganya bersama isteri, Datin Patimah Ismail.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Yusof Haslam & Patimah Tak Simpan Dendam, Sentiasa Doa Syamsul Pulang Ke Rumah – ‘Tapi Kalau Dia Tak Balik, Kami Reda’
Patimah sangka Yusof curang
Ketika ditemui OhBulan!, Yusof atau nama sebenarnya Md. Yusof bin Md. Haslam berkata, lagu tersebut menjadi penemannya sepanjang sebulan ketiadaan Patimah yang membawa diri ke Pokok Sena, Kedah.
Ada satu peristiwa di mana isteri saya merajuk dan bawa diri selama sebulan sebab dia salah sangka.
Waktu itu, kami baru sahaja pindah di kediaman kami ini sekitar dua tahun dan ketika itu saya pandang sekeliling kawasan rumah dan saya rasa sunyi.
Saya terus cakap pada diri, ‘Aku dah berusaha untuk membina rumah indah ini, aku kena pertahankan rumah tangga aku walau apa dugaan yang datang’.
Nak dijadikan cerita satu pagi ketika saya selesai solat Subuh dan duduk di balkoni rumah, saya terdengar lagu ‘ ‘Permata Untuk Isteri’ dari pondok ‘guard’.
Bila dengar lagu itu, air mata saya berguguran jatuh sebab lagu itu begitu menyentuh jiwa saya.
Menurut Yusof, Patimah menghilangkan diri selama sebulan gara-gara khabar angin yang mendakwa dirinya curang.
Dia salah sangka, dia ingat saya curang.
Waktu itu, saya tidak melakukan kesalahan yang besar atau benar-benar curang pun tetapi sebenarnya dia lebih kepada khabar angin sahaja.
Sebab waktu itu saya menerima banyak surat layang. Jadi sepanjang ketiadaan isteri, sayalah yang menguruskan anak-anak bersama pembantu peribadi.
Yusof berkongsi perkara tersebut ketika ditemui ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilftiri yang diadakan di kediaman rasmi mereka, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pengarah yang terkenal dengan jolokan ‘Six Million Dollar Man’ ini mendedahkan dia akhirnya berjaya menemui Patimah dengan bantuan arwah bapa mentuanya.
Tetapi itulah asam garam rumah tangga. Dan Alhamdulillah dengan bantuan arwah bapa mentua saya yang membantu saya mencari isteri saya.
Dia berjaya jumpa dan pujuk isteri saya supaya balik cuma biasalah awal-awal dia ‘keras’ juga.
Tetapi saya cakap pada dia, ‘Mah, kalau saya ada buat dosa besar pada awak, Tuhan pasti tak akan selamatkan kehidupan saya’.
Kebetulan waktu itu filem Gerak Khas The Movie nak tayang di pawagam.
Isteri saya pun terus perli dengan mengatakan biasanya filem saya selalu mendapat sambutan, jadi dia nak tengok sama ada filem ini berjaya atau tidak.
Alhamdulillah dengan izin Allah dan saya bertegas dengan pendirian untuk tidak melakukan hal yang tidak baik di belakangnya, filem itu sukses dan meraih kutipan box office.
Sekadar info, Yusof dan Patimah mendirikan rumah tangga mereka pada tahun 1982 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat anak serta lima cucu.
Untuk rekod, Yusof pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini dengan penyanyi, Allahyarhamah Raja Noor Saadah Salehuddin pada tahun 1978 sebelum bercerai pada tahun 1980.