“Sepanjang perjalanan ini, lembah dan lurah ku lewati, ketenangan yang ku cari, belum ku temui…” masih kekal dalam ingatan lirik lagu yang menjulang namanya tatkala menjuarai Juara Lagu pada tahun 1987 dengan lagu hangatnya iaitu “Menaruh Harapan” Ciptaan A.Ali dan lirik oleh Habsah Hasan.
Lunak merdu suaranya masih terngiang-ngiang di telinga tatkala lagunya diputarkan diradio. Namun bukan isu nyanyiannya itu yang nak dikupas, tetapi isu kisah silam jatuh bangun beliau sebagai diva popular dalam kehidupan glamornya. Menerusi filem biografi “Zaiton Ceritaku” terbitan Syarikat Produksi Bruang Filem Sdn Bhd, filem ini membangkitkan beberapa isu hangat antaranya isu cinta, konflik permasalahan antara keluarga yang melanda kehidupan diva tersebut dan sebagainya.
“Saya tidak tinggal bersama keluarga, saya tinggal bersama-sama anak angkat. Saya tak nak menyusahkan mereka”
Kenyataan diatas jelas sekali mencerminkan tentang suka duka beliau dalam permasalahan keluarga yang dihadapi tambahan lagi selepas kehilangan anak tersayangnya Irwan. Bayangkan, kehilangan segalanya ketika di puncak populariti, namun penyanyi ini masih mampu meneruskan hidup tanpa mengharapkan bantuan ahli keluarganya.
Menerusi filem “Zaiton Ceritaku”, permasalahan keluarga yang dihadapi tidak diceritakan sepenuhnya bagi menjaga hati pihak berkenaan daripada tersinggung dan menimbulkan isu aib.
Malah segala jalan penceritaan “Zaiton Ceritaku” diolah dengan sempurna oleh pengarah Esma Daniel agar jalan penceritaan yang penuh dengan isi tersirat itu dapat menyampaikan mesej yang baik kepada penonton tanpa menghukum keburukan seseorang individu tersebut.
Bagi Zaiton binti Sameon, 55 tahun, filem ini diharapkan dapat menyampaikan mesej supaya masyarakat di luar sana tidak mudah lupa diri apabila diselubungi dengan kejayaan mahupun kekayaan.
Semenjak perfilemen biografi “Zaiton Ceritaku” dijalankan, rezeki yang diperolehi semakin melimpah-ruah dimana baru-baru ini beliau tampil dengan rakaman album terbaru yang memuatkan 9 buah lagu antaranya “Insan Kecil”.