Pengarah filem ‘Sazali Meor Coco’ iaitu Zizan Nin menafikan dakwaan dirinya sedang bertarung melawan kanser ekoran tular imej dia berkepala botak baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Pertaruhkan Bakat Baharu Dalam Filem Sulung, Zizan Nin Harap ’Sazali Meor Coco’ Mampu Tawan Hati Penonton
‘Alhamdulillah, saya sihat’
Ketika ditemui OhBulan!, Zizan atau nama sebenarnya Azizan Nin berkata, gambar yang tular tersebut adalah foto yang dirakam sewaktu penggambaran sebuah projek, dua tahun lalu.
Kanser (penyakit) tu memang tak ada. Alhamdulillah saya sihat. Sebenarnya yang tersebar tu gambar lama masa saya berlakon cerita Roxy dulu. Watak tu memerlukan saya pakai wig (rambut palsu), tapi bila panas tu yang saya botakkan rambut.
Bercerita lanjut mengenai keadaan kesihatannya, Zizan berkata sebenarnya perubahan imej termasuk badannya yang susut disebabkan dia menghidapi masalah kolesterol tinggi.
Keadaan kesihatan sekarang nak kata okay pun tak juga tapi memang kena jaga pemakanan tetapi bila terlebih jaga, itu yang kurus.
Saya ada mengambil ubat kolesterol sekitar 2014 tetapi selepas dua tahun, saya berhenti dan jaga pemakanan dengan lebih ketat sehingga sekarang. Susah nak turun kolesterol, sebab genetik mungkin.
Sekadar info, filem Sazali Meor Coco merupakan filem sulung arahan Zizan Nin dan menampilkan Syazani Zikry, Shahradhy dan Iman Zulkarnain sebagai tunjang utama. Filem tersebut akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 16 November 2023 dan filem terbitan Aquila Emas itu ada ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan pada Oktober lalu.