Pelakon dan pelawak Zizan Razak memuji tindakan penyanyi Kaka Azraff yang lantang bersuara mengenai pergolakan yang berlaku antara Palestin dan Israel.
Artikel Berkaitan: Kaka Azraff Sah Ditamatkan Kontrak Warner Music
Jangan sampai rosak kerjaya
Ketika ditemui OhBulan! Zizan berpendapat setiap individu mempunyai strategi tersendiri dalam menunjukkan solidariti mereka.
Bagaimanapun, Zizan menasihatkan untuk memikirkan akan risikonya terlebih dahulu.
Pada saya strategi itu terletak pada tangan kita, kalau kita nak berjuang sesuatu itu dalam rumah orang lain yang bukan hak milik sendiri, kita harus berjaga-jaga.
Kena fikir sama ada perlu lantang bersuara atau tidak, jangan sampai merosakkan kerjaya kita.
Allah tahu niat baik kita, Allah tahu kepada siapa yang kita mahu tujukan. Bagaimanapun saya memuji tindakan Kaka yang lantang bersuara.
Zizan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Masked Singer Malaysia musim ke-4 yang berlangsung di Vivatel Hotel, Kuala Lumpur, petang Selasa.
Dalam masa sama, aktor berusia 39 tahun itu berkata dia lebih selasa untuk tidak mempertontonkan semangat solidaritinya kepada umum.
Saya pun berjihad tapi saya tidak uar-uarkan kepada umum. Saya dah jalankan tanggungjawab saya, bagi saya itu sudah cukup.
Bila mendengar cerita pasal Kaka saya rasa kasihan pada dia, tapi rezeki milik Allah, kalau Kaka rasa itu terbaik untuk dia, terpulanglah.
Terdahulu, Kaka dilaporkan telah ditamatkan kontraknya bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia.
Warner Music Malaysia bertindak sedemikian selepas penyanyi itu mengirimkan mesej kepada seorang pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic dengan mempersoalkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.
Tindakan tersebut membuatkan Kaka disenarai dalam Instagram Jew Hate Database, iaitu sebuah media sosial khas kelompok penyokong Israel.