berita

Penuh Emosi & Menyentuh Jiwa, Sila Sediakan Tisu Sebelum Menonton Pulang

July 26th, 2018 | by Wan
Kini Trending

Setelah sekian lama menanti, filem Pulang arahan pengarah tersohor Kabir Bhatia akhirnya mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula hari ini. Filem yang menjalani penggambaran sekitar dua tahun lalu ini menelan belanja yang cukup besar iaitu lebih RM6 juta.

Pulang bukan filem ‘klise’ Melayu. Sejujurnya, hampir dua jam menonton filem ini, jiwa dan emosi kami tidak keruan, bagai terumbang ambing dipukul ombak laut. Mungkin terlalu menjiwai jalan cerita Pulang yang cukup sempurna dan menyentuh jiwa.

Watak Othman lakonan Remy Ishak, seorang kelasi yang belayar ke serata dunia dengan harapan mahu mengubah nasib keluarganya benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam. Tidak hairanlah ramai penonton yang mengalirkan air mata ketika menyaksikan filem ini.

Kisah benar

Pulang merupakan kisah benar tiga generasi keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar. Garapan sempurna yang diselitkan dengan unsur-unsur dramatik dan tragis dalam era yang berbeza membuatkan jalan cerita Pulang penuh dengan emosi.

Berlatarbelakangkan era 1940-an, perkahwinan Othman dan isterinya, Thom lakonan Puteri Aishah mula diuji apabila Tanah Melayu dijajah Jepun. Namun permulaan sebenar bagi kisah meruntun jiwa ini bermula apabila Othman mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halaman demi mencapai cita-cita mencari kesenangan untuk keluarga.

Walaupun Thom tidak pernah meminta semua itu namun naluri seorang suami yang sentiasa menginginkan yang terbaik untuk keluarga akhirnya tetap membawa Othman pergi. Maka bermulalah perjalanan mendebarkan Othman di lautan.

Penderitaan Thom

Sejak kali pertama belayar dan meninggalkan Serkam, Othman hanya mengutuskan surat kepada Thom dan anaknya. Sehinggalah pada suatu ketika, tiada khabar berita daripada suaminya itu.

Tanpa suami disisi dan keseorangan membesarkan anaknya Omar, Thom berperang dengan kerinduan, kesedihan dan juga emosi sendiri. Walaupunbegitu, di dalam dirinya ada satu pengharapan. Pengharapan yang membawa dirinya nekad mencari Othman sehingga ke luar negara walaupun terpaksa bergadai harta benda.

Pujian harus diberikan kepada Puteri Aishah kerana berjaya membawakan watak Thom dengan sempurna walaupun masih baru dalam dunia lakonan.

Adakah Othman akan Pulang?

Senimatografi dan arahan seni yang cukup kemas membuatkan penonton seolah-olah merasai keperitan yang dilalui Othman sepanjang pelayaran tersebut. Tambah menyedihkan apabila penat lelah selama ini bagai hancur begitu sahaja setelah berlaku satu peristiwa yang meruntun jiwa. Tidak keterlaluan jika kami katakan, menonton beberapa babak di lautan filem ini seperti menonton Titanic dan Life Of Pi. Penuh keterujaan dan mendebarkan. Hasil kesan khas CGI yang menelan belanja RM2 juta diterjemahkan menjadi sebuah filem pengembaraan epik.

Saban tahun, Omar meningkat dewasa dan berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Peluang ini digunakan sebaiknya oleh Omar untuk mencari Othman yang khabarnya menetap di Kota London. Kerinduan yang selama ini dipendam akhirnya dizahirkan dengan satu pelukan erat. Adakah Othman akan pulang bertemu cinta sejatinya, Thom?

Anda kena tonton di pawagam. Pesan kami, sediakan tisu kerana pengakhiran kisah ini sangat menyentuh hati. Kami bagi 4.5/5 bintang. Pulang turut membariskan pelakon popular seperti Datuk Jalaludin Hassan, Azrel Ismail, Juliana Evans, Erwin Dawson, Akmal Ahmad, Alvin Wong dan ramai lagi.

SKIP THIS AD ×