Semalam, kami menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan pelakon Umie Aida telah menarik diri dari menjadi duta syarikat jualan langsung YSLM dan telah memulangkan kembali wang RM80,000 yang diberikan.
Menerusi pesanan tersebut, Umie menjelaskan bahawa dia tak ada sebarang kaitan dengan syarikat itu lagi dan meminta gambarnya tidak digunakan untuk sebarang tujuan.
Untuk pengetahuan, Umie turut menegaskan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika gambarnya digunakan.
Kami sendiri kurang jelas mengapa Umie mengambil tindakan ini. Apapun, apa kata anda baca sendiri penjelasan Umie.
Pada Jumaat lepas, Saya menghadiri satu mesyuarat dengan sebuah syarikat bernama YSLM yang berhasrat mahu mengambil saya sebagai artis di bawah naungan mereka bagi tujuan aktiviti amal dan kebajikan untuk membantu anak-anak yatim dan golongan susah.
Pada awalnya, saya bersetuju tetapi atas sebab-sebab tertentu saya terpaksa membatalkan niat untuk menjadi artis naungan syarikat tersebut.
Mereka juga ada memberi saya wang tunai sebanyak RM80,000 sebagai hadiah tetapi keesokan harinya saya mengambil keputusan untuk memulangkan semula wang tersebut.
Oleh yang demikian, saya memohon jasa baik kepada pihak-pihak yang mengambil gambar-gambar saya pada hari berkenaan agar tidak menggunakan gambar tersebut untuk kepentingan syarikat.
Sekiranya gambar-gambar saya digunakan, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. Saya ingin tegaskan sekali lagi di sini bahawa saya bukan artis atau duta YSLM. Saya hanya duta kepada Phytoscience Stemcell dan tetapi serta masih setia bersama mereka.
Yang Benar
UMIE AIDA
Pada pemahaman kami, tindakan Umie ini adalah untuk menjelaskan dia tidak terikat dengan syarikat tersebut dan berharap tidak ada fotonya yang disalahgunakan.
Tapi apa pula YSLM ni? Menurut laporan mStar, YSLM dikatakan berdaftar dibawah Akta Jualan Langsung di negara ini untuk melakukan perniagaan tersebut dan misi utama mereka adalah menjadi individu terkaya di dunia dalam tempoh lima tahun.
Tetapi, ada juga yang kata YSLM ni scam. Hmmm, apapun, berkenaan isu ini, hanya Umie Aida saja yang tahu.