Komedi bukanlah seperti berlakon dan bernyanyi yang boleh dipelajari. Ianya berlandaskan pada pengalaman sehinggalah menghasilkan nilai kehidupan tersendiri.
Kini pada tahun 2012 atas sokongan yang diberikan para penonton, program Maharaja Lawak Mega sekali lagi bakal menghiasi kaca televisyen dengan aksi-aksi bersahaja.
Tidak kering gusi sehingga mampu menitiskan airmata. Ini yang boleh digambarkan tatkala menyaksikan persembahan yang mengelikan hati dengan lawak spontan dan aksi yang memukau daripada para peserta yang berkualiti bagi program Maharaja Lawak Mega.
Manakan tidak, para peserta yang menyertai program Maharaja Lawak Mega terdiri daripada kalangan pelawak yang berimaginasi tinggi dengan idea lawak yang mengagumkan.
Yang menariknya, Maharaja Lawak Mega ini menghimpunkan bukan sahaja pelawak dari Malaysia, bahkan juga dari negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia dan Singapura.
Para juri pasti tidak sabar menantikan idea-idea baru yang bakal dipamerkan oleh para peserta untuk memberikan mereka ketawa terbahak-bahak disamping menolak tepi bahan lawak yang masih ditakuk lama.
Jika dahulu, kumpulan Osbon menjuarai Maharaja Lawak Mega pada tahun 2011, siapa pula yang bakal merangkul gelaran juara bagi Maharaja Lawak Mega tahun 2012? Semuanya bakal terjawab berlandaskan undian anda dan sudut pengisian yang bakal ditonjolkan oleh para peserta.
Anda yang memilih dan menentukan siapa di antara 27 peserta ini yang layak memasuki gelanggang utama Maharaja Lawak Mega 2012. Hanya 3 peserta dengan undian tertinggi akan layak masuk bertanding.
Pengguna dibenarkan mengundi hanya satu undian untuk satu hari bagi setiap peserta dari tempoh 5/9/2012 pada pukul 6 petang sehingga 17/9/2012 pada pukul 12 tengah hari mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Kesemua senarai calon yang bertanding akan dipaparkan semasa tempoh pengundian ‘online’ dilakukan dan yang menariknya undian yang dilakukan oleh pengguna adalah percuma.
Layari laman web rasmi www. maharajalawakmega.com.my untuk maklumat lanjut.