berita

5 ‘Senaman’ Yang Anda Boleh Lakukan Di Rumah Sepanjang PKPB

November 12th, 2020 | by AnisAffandi
Kesihatan & Hidup Aktif

Foto: Healthline

Walaupun berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat Malaysia disarankan supaya kekal aktif dan cergas dengan melakukan aktiviti senaman. Disebabkan situasi pandemik Covid-19 ini semakin membimbangkan, kita haruslah ambil langkah berjaga-jaga untuk kurangkan keluar dari rumah kecuali untuk hal-hal yang penting. 

Senaman tidak terhad dilakukan di gimnasium atau taman permainan. Bagaimanapun, anda juga boleh melakukan senaman di rumah untuk memastikan diri kekal cergas dan aktif. Berikut adalah tips kekal aktif semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Senaman kardio

Foto: Healthline

Senaman kardio merupakan senaman yang berkesan kerana ia menguji dan memperbaiki stamina apabila sesuatu perbuatan diulang banyak kali hingga jantung kita berdegup laju dari biasa.

Senaman ini dapat meningkatkan metabolisme dan mengelakkan penyakit diabetes. Antara aktiviti kardio yang boleh dibuat di rumah adalah lompat bintang, lompat tali skipping dan jogging setempat. Jika rumah anda mempunyai tangga, boleh juga buat larian tangga.

Pada masa yang sama, anda juga boleh cuba untuk melakukan senaman tekan tubi, squat, plank, burpees dan lounges. Senaman-senaman ini dapat membina kekuatan dan daya ketahanan serta meningkatkan kadar denyutan jantung. Selain itu, ia dapat mempengaruhi keseimbangan badan. Ia juga baik untuk abdomen dan otot perut.

Yoga

Foto: Healthline

Yoga merupakan antara senaman yang menjadi pilihan ramai wanita masa kini dan ianya mudah dilakukan di rumah. Senaman ini melibatkan pergerakan perlahan yang terkawal dan masih mampu melatih seluruh anggota tubuh kita. 

Yoga mementingkan pengawalan pernafasan semasa melakukan postur dan rutin pergerakan. Ia juga dapat membantu hilangkan tekanan yang dialami akibat persekitaran dan masalah harian lain kerana ia amat menenangkan. Anda juga boleh merujuk video latihan yoga di mana-mana media sosial untuk memudahkan aktiviti yoga anda.

Tai chi

Foto: Healthline

Tai chi medupakan senaman yang berupaya meningkatkan daya ketahanan, fleksibiliti dan keseimbangan tubuh. Ia juga dapat menambah tumpuan kita kepada gerakan tertentu pada seluruh anggota tubuh. Pernafasan juga diambil kira bagi memastikan aktiviti ini lebih efektif. 

Berbanding ssnaman lain, tai chi lebih menggunakan pergerakan membulat tanpa memaksa otot dan membuatkan tubuh badan lebih tenang.

Zumba

Foto: Entity Mag

Zumba adalah senaman aerobik yang sangat bertenaga tidak kira usia, kecergasan atau kemahiran anda. Senaman zumba selalunya dibuat dalam kumpulan, tetapi juga boleh dibuat seorang diri di rumah dengan merujuk video-video zumba di aplikasi media sosial anda. 

Zumba biasanya dilakukan dengan jangka masa 30 hingga 90 minit. Tetapi durasinya juga bergantung kepada kecergasan dan stamina anda. Untuk mendapatkan faedah zumba, anda boleh amalkan 5 hari seminggu untuk kekal cergas dan bertenaga walaupun duduk di rumah.

Mengemas rumah

Foto: Healthline

Melakukan kerja rumah juga merupakan antara senaman yang bagus kerana anda boleh membakar sehingga 190 kalori dalam 40 minit sahaja. Aktiviti harian mengemas rumah seperti menyapu, mengemop, membasuh pinggan dan mengemas dapur dapat kekalkan kecergasan dan pada masa yang sama dapat kekalkan kebersihan rumah anda.

Anda haruslah kreatif jika bersenam di rumah kerana terdapat banyak lagi aktiviti di rumah yang boleh anda lakukan untuk membakar kalori dan memberi kecergasan kepada anda. Aktiviti ini juga boleh dilakukan bersama ahli keluarga, dapat menjaga kesihatan seisi keluarga dan pada masa yang sama dapat menjalinkan hubungan erat ahli keluarga.

Sumber: Healthline, Jobstore.

SKIP THIS AD ×