Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kami ingin kongsikan kepada anda kisah sahabat Nabi bernama Malik bin Dinar. Ianya berkisar mengenai kejiranan. Haa, mesti ada dalam kalangan kita yang tak kenal jiran sendiri, lagi-lagi yang duduk sebelah rumah apartment atau kondo. Paling teruk, jiran sebelah rumah dalam taman pun kita buat tak tahu je.
Sebenarnya Rasulullah S.A.W. sangat menitikberatkan soal kejiranan ni. Sampaikan hak jiran ke atas kita pun Nabi ada beritahu dalam hadisnya. Jom baca kisah selanjutnya mengenai peristiwa sahabat Nabi iaitu Malik bin Dinar ini.
Sengaja buat saluran tandas
Malik bin Dinar adalah seorang alim yang soleh, beliau mempunyai jiran seorang Yahudi. Jirannya itu sengaja membuat saluran tandas menghala ke rumah Malik bin Dinar menyebabkannya terpaksa membersihkan najis dan kotoran yang masuk ke dalam rumahnya saban pagi tanpa mengeluh.
Perkara tersebut berlanjutan sehingga jiran Yahudi tersebut mulai bosan dengan respon dan sikap Malik bin Dinar. Bukan sekadar tidak membalas dengan kemarahan tetapi Yahudi tersebut mendapat senyuman, hadiah dan layanan yang baik daripada sahabat Rasulullah itu.
Tidak pernah memarahi
Suatu hari Yahudi bertanya sebab Malik bin Dinar tidak pernah memarahinya lantas dijawab, “Aku pernah dengar Kekasihku nabi Muhammmad SAW menyebutkan : “Sentiasa Jibril datang kepadaku berkali-kali untuk mengingatkan tentang hak kejiranan sehingga aku ingat jiran akan mendapat hak waris”. Oleh kerana begitu kerap diingatkan oleh Jibril, Nabi SAW menyangka yang jiran akan dinaik taraf sehingga boleh menjadi orang yang boleh mewarisi harta jiran.
Hak-hak jiran
Berikut adalah hak-hak jiran yang perlu kita ambil tahu dan peduli.
1. Mula memberi salam kepadanya.
2. Tidak terlalu banyak bertanya tentang hal –ehwal urusan dalamannya.
3. Menziarahi apabila dia sakit dan melawatinya apabila ia meninggal dunia.
4. Turut merasakan kesusahan apabila ia sedih dan menunjukkan rasa gembira apabila dia bergembira.
5. Sama-sama menyertai jiran ketika ia dalam kesusahan dan kegenmbiraan.
6. Memaafkan segala kesalahan dan kekhilafannya.
7. Tidak menunjukkan pandangan ke dalam rumahnya sehingga boleh menampakkan auratnya.
8. Tidak menyusahkan perasaannya.
9. Tidak menyempitkan jalan menuju ke rumahnya.
10. Tidak menujukan pandangan kepada segala yang dibawa ke dalam rumahnya.
11. Menutup segala keaiban dan dan kecelaan yang dilakukannya.
12. Meringankan daripada malapetaka yang menimpanya.
13. Tidak terpedaya dengan kata-kata orang terhadapnya.
14. Menghormati kehormatan isteri dan pembantu wanita yang bekerja di rumahnya.
15. Bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya.
16. Memberi tunjuk ajar apa yang tidak diketahui mengenai agama mahupun akhirat.
Sumber: Kitab “Bimbingan Mukminin” karya Imam Al-Ghazali.