![[VIDEO] Rossa Beri Respon Isu Lagu Sinaran, Faham Situasi Nora Ariffin – ‘Dia Sedang Memperjuangkan Hak’](https://asset.ohbulan.com/2025/11/rossa-2.jpg)
Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa memberi respon berhubung isu lagu Sinaran yang dirakamkan semula dan merupakan hasil ciptaan Johan Nawawi serta Azlan Abu Hassan.
Artikel Berkaitan: Nora Ariffin Persoal Rossa Rakam Semula Lagu ‘Sinaran’ – ‘Siapa Beri Keizinan?’
Artikel Berkaitan: ‘Lagu Sinaran Berkumandang Merata Tempat, Arwah Johan Nawawi Dapat RM60 Je’ – Nora Ariffin
Penjelasan Rossa

Ketika ditemui OhBulan!, Rossa, 47, menjelaskan bahawa dia dan penyanyi yang juga balu kepada arwah Johan iaitu Datuk Nora Ariffin telah pun berhubung mengenai isu berkenaan, lalu menyedari mereka sebenarnya merupakan kenalan lama.
Saya sendiri terkejut apabila mengetahui isu ini. Kami memang sudah membuat bayaran (royalti) dan tiada sebarang masalah.
Namun, saya anggap perkara ini ada hikmah kerana saya sebenarnya mengenali Nora sejak bertemu pada 25 tahun yang lalu.Saya juga baru tahu rupanya komposer lagu tersebut merupakan kenalan lama saya iaitu arwah Johan.
Menurut Rossa, isu tersebut telah pun dibincangkan secara baik dan dia memahami situasi Nora yang hanya ingin menuntut hak arwah suaminya.
Kami telah berbual dan berbincang mengenai perkara ini.
Nora sedang memperjuangkan hak waris, kebetulan saya pula menyanyikan semula lagu itu dan mengenali mereka.Alhamdulillah, komunikasi menjadi lebih mudah dan saya pun turut membantu menguruskan perkara ini.
Rossa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran mini album ‘Asmara Dansa’ yang berlangsung di The Five, Kuala Lumpur pada Rabu.
Isu royalti
Sementara itu, pelantun lagu Tegar tersebut mendedahkan bahawa industri muzik di Indonesia turut berdepan dengan masalah yang sama.
Isu ini turut berlaku di Indonesia juga yang melibatkan penyanyi dan pencipta lagu.
Permasalahannya mungkin sama iaitu royalti yang tidak dibayar. Jadi saya sangat memahami situasi ini.
Terdahulu, Nora menerima panggilan daripada Rossa selepas menyuarakan di Instagram Story miliknya tentang isu rakaman semula lagu malar segar tersebut.
Sebelum itu, Nora juga pernah membangkitkan isu royalti dan mendakwa arwah Johan menerima bayaran yang tidak setimpal.
Untuk info, Sinaran dimuatkan di dalam album Emosi dan menjadi antara lagu hits yang dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid.








