Baru-baru ini, penyanyi Elyana menerusi beberapa kemas kini dalam Instagram Stories meluahkan isi hati berkenaan penyakit kanser limfoma yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Banyak Sangat Tudung Awak Bagi Saya’ – Elyana
Artikel Berkaitan: ‘Saya Mohon Kalian Doa Untuk Mama Saya’ – Ibu Elyana Positif Covid-19
Badan saya seperti disiat-siat
Menurut Elyana, 34, dia masih mampu untuk menanggung kesakitan sekian lama namun sejak kebelakangan ini dia berasakan seolah-olah tiada kekuatan untuk melawan penyakitnya.
Pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal akui berasa lemah apabila seluruh badannya berasa seperti disiat-siat dan ditoreh.
Boleh dikatakan seluruh badan saya seperti disiat-siat dan ditoreh-toreh. Jujur saya rasa lemah dan seakan-akan hilang arah, tidak tahu sampai bila mampu bertahan.
Dari bahagian pinggul, dada, belakang badan dan kaki semuanya sakit. Sakit yang tidak tahu bagaimana untuk saya ungkapkan.
Mungkin sebab kesan daripada radioterapi yang saya jalani sebelum ini dan vaksin kedua Covid-19 yang saya ambil minggu lalu.
Tangguh rawatan kemoterapi
Dedah pelantun lagu Kalis Rindu itu, dia sepatutnya menjalani rawatan kemoterapi selepas selesai jalani 15 sesi radioterapi, namun meminta untuk ditangguhkan ke bulan depan.
Katanya, dia ingin bersama-sama meraikan ulang tahun kelahiran anak sulungnya, Cinta Sumayah dan ibu tersayang, Shamsidar Alias.
Jumaat ini ulang tahun kelahiran anak sulung, manakala 1 September depan pula hari ulang tahun ibu tercinta saya.
Biarlah saya raikan mereka dahulu. Lepas itu baru fikir fasa kemoterapi. Kalau ada pilihan memang saya tidak mahu jalani kemoterapi, tetapi saya tiada pilihan. Hendak atau tak, tetap kena buat juga.
Terdahulu, pelakon drama Dunia Baru itu memaklumkan kanser yang dihidapinya memasuki tahap lima dan telah menyerang serta merebak ke beberapa organ badannya termasuk rahim, hati dan pangkal paha.
Elyana membuat pendedahan menghidap kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada tahun 2017.
Sumber: Kosmo, Instagram @elyanaofficial1