Menyambut bulan suci Ramadan tanpa penyeri rumah tangga tidak mudah untuk dihadapi oleh pelawak dan usahawan Shuib. Tambahan pula, ini merupakan Ramadan pertama menguruskan anak-anak sendirian.
Artikel Berkaitan: Sedar Netizen Tak Puas Hati Borak Bab Kahwin, Shuib Dengar Kata Keluarga – ‘Jika Saya Menangis Di Rumah Bukannya Mereka Datang’
Artikel Berkaitan: Shuib Terharu Dewan Serbaguna Di Baitul Sakinah Letak Nama Arwah Sarah – ‘Hadiah Buat You Sayang’
Anak-anak teruja puasa
Menurut Shuib, Ramadan tahun ini paling mencabar buat dirinya kerana tiada figura isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah di sisi.
Katanya kepada OhBulan!, biarpun memikul tanggungjawab menjadi ayah dan ibu, Shuib bersyukur kerana anak-anaknya sangat memberi kerjasama dan mudah diurus.
Bulan puasa pada tahun ini sangat mencabar untuk saya tetapi saya bersyukur anak-anak sangat baik dan teruja untuk menjalani ibadah puasa.
Mereka tidak menunjukkan perangai seperti merengek hendak berbuka tetapi sangat mudah diurus. Mudah kejut untuk sahur dan mereka juga bersemangat nak bantu saya seperti mengemas rumah, teman saya ke pasar atau bazar Ramadan. Memang kagum dengan semangat mereka.
Allahyarham Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempat dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.
Hasil perkahwinan bersama pada tahun 2011, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7 dan Ayash Affan yang kini berumur tujuh bulan.
Rindu arwah anjur majlis berbuka
Tambah pemilik nama Shahmira Muhamad, kenangan Ramadan paling dirindui bersama arwah Sarah adalah majlis berbuka puasa yang diuruskan sendiri oleh isterinya.
Kongsinya, dia belajar daripada arwah betapa seronok berbuka beramai-ramai memandangkan dia dilahirkan dalam keluarga kecil.
Setiap kali bulan puasa, Sarah akan anjurkan majlis berbuka di rumah. Dia akan jemput ramai tetamu dan masak untuk mereka.
Itu antara kenangan yang paling saya rindu. Saya anak tunggal, keluarga pun tidak besar. Dengan Sarah saya belajar keseronokan berbuka puasa ramai-ramai.
Semasa bujang, buka puasa dan sahur tidak menyeronokkan bagi saya sebab selalu seorang diri tetapi selepas kahwin, arwah yang bawa keseronokan tersebut.
Dia yang wujudkan kegembiraan berbuka puasa bersama keluarga dalam hidup saya. Namun, saya tetap bersyukur Ramadan tahun ini masih ada ahli keluarga lain yang setia di sisi.
Shuib berkata demikian pada sidang media program Diari Daddy yang diadakan secara ‘virtual’ pada Isnin.
Bercerita tentang pengalaman menjalani penggambaran Diary Daddy, pelakon filem Sepah The Movie memberitahu anak-anaknya semulajadi mempunyai bakat di depan kamera oleh sebab itu segala urusan berjalan lancar.
Apabila saya beritahu mereka bakal terbabit dengan sebuah penggambaran, anak-anak sangat teruja dan mengikut segala arahan pada sesi penggambaran dilakukan.
Masing-masing sudah memahami komitmen kerja yang perlu dilakukan. Alhamdulillah tiada cabaran besar yang berlaku ketika sesi penggambaran dijalankan.
Diari Daddy akan ditayangkan selama lima episod pada setiap hari Sabtu jam 5.30 petang di TV3.
Sumber: Instagram @shuibsepahtu