Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah melancarkan kempen daya tahan kewangan #SediaPayungKewangan siri kedua dan merasmikan laman web mikro kempen serta akaun Instagram Chief BerUang yang merupakan ikon pengurusan kewangan PIDM yang boleh dipercayai.
Orang ramai kini boleh menjangkakan pelbagai pengaktifan aktiviti fizikal dan digital apabila kempen ini berlangsung secara hibrid yang bermula hari ini sehingga 30 September 2022. Menarik kan!
Menurut Naib Presiden Eksekutif PIDM, Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi, kesan pandemik Covid-19 di tengah-tengah ketidaktentuan lain dalam ekonomi telah menekankan bahawa literasi kewangan adalah kemahiran hidup yang diperlukan dalam membina daya tahan individu dan mengurangkan potensi kesan kewangan ketika waktu di luar jangkaan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua tahu bahawa kita tidak perlu menunggu peristiwa yang memberi kesan kepada kehidupan seperti pandemik untuk mengetahui sama ada kita berdaya tahan dari segi kewangan atau tidak, mahupun untuk mula membaiki kedudukan kewangan kita.
Jadi dengan adanya kempen #SediaPayungKewangan ini, diharapkan rakyat Malaysia dapat membina daya tahan dalam pengetahuan kewangan mereka.
Jom kita tengok apa yang menarik mengenai kempen ini!
Jom belajar ilmu kewangan bersama!
Kempen #SediaPayungKewangan ini menyasarkan golongan milenial dari pelbagai peringkat kehidupan seperti, bujang yang bekerja, pasangan suami isteri yang bekerja dengan atau tanpa anak dan bertujuan untuk mendorong mereka untuk lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan untuk waktu kecemasan.
Salah satu sorotan utama kempen ini ialah kalkulator SPK, suatu platform interaktif yang mengimbangkan pendapatan dan perbelanjaan individu dan membuat pengiraan berapa banyak yang diperlukan untuk simpanan tabung kecemasan.
Korang tahu tak yang, kalkulator ini percuma je untuk digunakan dan tidak perlu mendaftar pun tau. Klik klik je!
Roadshow bersama PIDM
Yang lagi best mengenai kempen ini adalah PIDM bakal menganjurkan roadshow di empat negeri. Nak tahu kat mana?
Haa…roadshow akan bermula dengan Lembah Klang pada 6 Ogos 2022 ini dan akan bergerak ke selatan bermula dari Seremban, Melaka dan Johor yang akan meliputi 25 lokasi selama 21 hari. Wow!
Orang ramai dijemput hadir untuk melihat PIDM Kombi Van dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan serta berpeluang memenangi hadiah yang menarik dalam pertandingan foto.
Segala butiran mengenai lokasi dan tarikh PIDM Kombi Van akan dikemas kini secara berkala di akaun Facebook PIDM dan akaun Instagram Chief BerUang. Ni yang lagi buat kita tak sabar!
Di samping itu, orang ramai juga digalakkan melayari laman web mikro #SediaPayungKewangan untuk mengetahui lebih banyak video dan artikel yang boleh membimbing korang menjadi lebih berdaya tahan dalam menguruskan kewangan semasa.
#SediaPayungKewangan telah dilancarkan pada tahun 2021 dan meraih capaian lebih daripada 9.5 juta penonton menerusi pelbagai saluran digital sementara tiga siri video animasi pertama “Borak Bersama Chief BerUang” mencatatkan 3.9 juta tontonan kumulatif di Facebook dan YouTube. Hebat kan!
Tunggu apa lagi jom belajar menguruskan kewangan untuk waktu kecemasan. Untuk maklumat lanjut korang boleh layari laman web rasmi PIDM tau. Semoga berjaya!