Bila tiba hujung minggu selalu buntu tak tahu nak bawa anak-anak dan keluarga ke mana kan? Asyik pergi mall je pun bosan juga.
Ha..pada bulan Ogos dan September ini,Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan mengadakan Program Pelancongan Budaya 2023 dengan membawakan pelbagai festival dan program di negeri Pahang, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.
Memang sesuai sangat kalau korang bawa anak-anak dan keluarga ke sini. Bolehlah mereka pelajari tentang warisan dan budaya negara kita. Jom kami kongsikan antara program-program yang ada!
Festival Kesenian Pribumi Malaysia
Aok taktau nok koner? Eh, tercakap loghat Pahang pulak. Haa..untuk korang yang tak tahu nak ke mana hujung-hujung minggu tu, moh ler ke Festival Kesenian Pribumi Malaysia pada 4 hingga 6 Ogos 2023 ni di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.
Program ini akan mengetengahkan pelbagai etnik, warisan, bahasa, kepercayaan, amalan orang asal dari pelbagai negeri di Malaysia dan terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti korang seperti Konsert Kesenian Peribumi Malaysia Suku Kaum Semelai & Jakun (Pahang), Mahmeri & Bah Bola (Selangor), Bateq (Kelantan), Temuan (Negeri Sembilan) & Semoq Beri (Terengganu), Battle Of The Band Orang Asal, Beauty Pageant & Masculin Indigenous Orang Asal, Perkampungan Orang Asal dan banyak lagi. Moh lah Kiter Wehhh…
Temasya Budaya Perak
Buat orang-orang Perak pula, moh nyongket kome ke Perak sempena Temasya Budaya Negeri Perak pada 30 & 31 Ogos hingga 1 & 2 September 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh, Perak.
Jom terokai keindahan seni, budaya, warisan dan pelancongan yang terdapat di negeri Perak melalui kepelbagaian kaum dan etnik. Ia merupakan rangkuman dari pelbagai aspek meliputi budaya, etnik, agama, dan amalan tradisi setempat. Antara aktiviti yang menarik menanti korang adalah Konsert Ambang Merdeka, pertandingan, pameran dan jualan seni budaya negeri Perak.
Festival Permainan Malaysia @ KL 2023
Selain seni dan budaya, permainan tradisional juga merupakan sebahagian daripada warisan yang perlu dipelihara. Untuk mengenali permainan-permainan tradisional yang terdapat di negara kita, korang boleh berkunjung ke Festival Permainan Malaysia @ KL 2023 pada 15 hingga 17 September 2023 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Festival ini akan menghimpunkan pelbagai pertandingan permainan tradisional seperti Tarik Tali, Galah Panjang, Terompah Gergasi, Sepak Raga Ratus, Congkak, Bola Sepak Kain Sarong, Kabaddi, Yoyo, Diabolo, Memanah Tradisional, Gasing Pangkah, Menyumpit, Kercang dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga beberapa pengisian lain yang menarik seperti Keretapi Sarong, Wayang Kulit Fun Run, Chinggay, Segerak Silat @KL, Permainan Tradisional Sabah dan Sarawak, Lompat Tali Berirama, RV Village, Pertandingan Busana Kitar Semula, Kebaya Fashion Show, Malaysian Street Food, Festival Gendang & Tari dan banyak lagi.
Festival Kota Selatan
Festival Kota Selatan (FKS) merupakan satu program yang mengangkat seni, budaya dan warisan yang memaparkan identiti tiga buah negeri yang terletak di selatan semenanjung Malaysia iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Festival ini akan berlangsung pada bulan September 2023 bertempat di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, Johor.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya persembahan kesenian tiga buah negeri, Pertandingan Tarian Zapin, Pertandingan Dewi Kebaya, gerai jualan, pameran agensi, persembahan artis tempatan dan banyak lagi.
Jadi apa tunggu lagi, pastikan korang datang ya. Rugi tau kalau korang lepaskan peluang ni kerana program ini bukan sahaja akan memberikan kepuasan dan pengalaman yang menarik, malah secara tak langsung mendedahkan korang kepada budaya, seni dan warisan nenek moyang kita.
Yang paling best, korang juga berpeluang untuk memenangi hadiah jika korang sertai mana-mana aktiviti yang disediakan.
Untuk keterangan lanjut mengenai aktiviti serta program seni budaya, korang boleh layari laman web Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di www.jkkn.gov.my atau hubungi mereka di talian 03 2614 8200.