Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, Kuala Lumpur, Muhammad Hazrin Zulkifli berkongsi pengalaman ketika operasi memadam dan mencari mangsa terkorban pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Baru Sayang Tahu Abang Ganas’ – Pemandu e-Hailing Sempat Gurau Dengan Isteri Sejam Sebelum Maut
Artikel Berkaitan: Nahas Pesawat Terhempas, Wanita Nyaris ‘Hilang’ Dua Anak
Cebisan daging, isi kulit
Memetik Harian Metro, Muhammad Hazrin berkata dia yang tiba awal di lokasi nahas memaklumkan melihat dua tompokan api iaitu di tepi pembahagi jalan membabitkan mangsa penunggang motosikal dan satu lagi tompokan api di tepi jalan lokasi pesawat itu terhempas.
Jelasnya, pasukan bomba turut mengalami kesukaran ketika proses pemadaman api yang marak dan perlu berhati-hati mengeluarkan mayat bagi mengelakkan kulit mangsa yang melekat tertanggal.
Tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu melihat keadaan mayat dan cebisan tubuh berselerakan di lokasi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam. Malah, ketika proses mengeluarkan mayat ada isi kulit terlekat pada pesawat serta kereta pemandu e-hailing terbabit.
Walaupun sebak dan tragis melihat kejadian itu, namun berbekal ilmu, pegawai dan anggota penyelamat bomba terpaksa mengawal perasaan ketika menjalankan operasi itu.
Paling tidak dilupakan dan agak rumit untuk mengeluarkan mayat yang mengambil masa agak lama membabitkan mayat pemandu e-hailing dan seorang lelaki yang berada di dalam pesawat.
Sebahagian pesawat itu berada di atas sebuah kereta dan terdapat dua mayat di dalamnya. Kami mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa.
Bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengangkat dan menarik keluar secara perlahan-lahan kerana ada cebisan kulit melekat pada pesawat dan kereta itu.
Tambah Muhammad Hazrin, kedudukan mayat 10 mangsa yang terkorban ketika itu amat menyayat hati.
Ada dua mangsa tercampak di luar pagar di tepi jalan, satu di tepi pagar dan lain-lain berhampiran pagar. Ada mayat yang tidak sempurna ketika diangkat sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Selain itu, agak mencabar apabila kami perlu membuat penandaan 200 cebisan mayat yang berselerakan di lokasi dan penuh dengan bendera sebelum dikutip satu persatu dan dimasukkan dalam plastik untuk dianalisa.
Muhammad Hazrin berkata lagi, mujur ketika itu, pelekat cukai jalan kereta pemandu e-hailing terbabit tidak terjejas dan sebaik menemuinya terus diserahkan kepada polis untuk mengesan identiti pemilik dan menghubungi waris.
Jika tidak sudah tentu ia akan mengambil masa untuk mengenal pastinya kerana kereta itu rosak sepenuhnya
Terdahulu, polis mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat ringan terhempas di di Bandar Elmina dekat Shah Alam, Selangor, kira-kira jam 2.40 petang Khamis.
Sumber: Harian Metro