Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan telah mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie, Elmina petang semalam.
Artikel Berkaitan: ‘Haram Sebarkan Video, Gambar Mangsa Rentung’ – Dr Zulkifli
Artikel Berkaitan: ‘Saya Dengar Penunggang Motosikal Beberapa Kali Menjerit Allahuakbar’
Arwah seorang yang manja
Ibu salah seorang mangsa nahas pesawat terhempas, Mahanom Ismail
Foto: BERNAMA
Memetik laporan Harian Metro, ibu kepada juruterbang pesawat tersebut, Shahrul Kamal Roslan iaitu Mahanom Ismail berkata kali terakhir arwah menghubunginya adalah sebelum dia menjalani pembedahan pada 24 Jun lalu di Hospital Angkatan Tentera (ATM), Tuanku Mizan.
Sehari sebelum menjalani pembedahan usus dan hempedu, dia (anak) ada menghubungi saya untuk bertanya khabar.
Sebelum meletakkan telefon, dia berkata ‘adik sayang mama sangat.
Warga emas itu kelihatan sugul ketika ditemui oleh pihak media di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang malam tadi.
Dia yang tidak mampu menahan sebak menyifatkan anak bongsunya itu sebagai seorang yang sangat manja.
Arwah rapat dan manja dengan saya, kalau balik rumah saya..dari jauh lagi, ‘mama..mama, buka pintu’.
Saya akan merindui segalanya mengenai arwah, suara dia memanggil saya.
Sementara itu, bagi urusan pengebumian, Mahanom dan keluarga besannya akan berbincang sama ada jenazah akan disemadikan di Taman Melawati, Kuala Lumpur atau di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Mangsa yang berusia 42 itu meninggalkan seorang balu dan empat orang anak lelaki berusia antara tiga hingga 12 tahun.
Shahrul Kamal merupakan juruterbang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dilaporkan terhempas semalam. Pesawat itu berlepas dari Langkawi dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Subang.
Insiden tersebut juga turut melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut terkorban ketika kebetulan melalui Persiaran Elmina berhampiran susur Lebuhraya Guthrie.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian