Bangkit dan dikenali di era pasca COVID-19, pempengaruh terkenal, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, mengakui bukan satu perjalanan mudah untuk berada di tahap sekarang.
Pelbagai ujian harus ditempuhi hingga pernah berdepan detik cemas nyawanya seperti telur di hujung tanduk.
Artikel Berkaitan: Pertaruhkan 13 Kategori, Malam Berprestij TikTok Awards Malaysia Bakal Gegarkan Pentas MITEC Pada 27 Ogos Ini
Jalani pembedahan Ameloblastama
Menurut Dr Samhan, dia diuji dengan penyakit Ameloblastoma atau ketumbuhan rahang pipi sekitar tujuh tahun lalu. Pemilik kepada tujuh buah klinik itu menegaskan kesakitan yang dirasai itu sangat perit untuk ditanggung.
Kerana sakit dan memerlukan pembedahan Ameloblastama ini juga saya tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen bagi ijazah perubatan saya di University Tanta di Mesir.
Saya terpaksa pulang ke Malaysia untuk melakukan pembedahan yang memerlukan tulang rahang saya dibuang. Seterusnya diambil tulang betis bagi menggantikan tulang rahang.
Pembedahan mengambil masa 12 jam dengan kos keseluruhan RM20,000. Ketika diuji itu saya sendiri pasrah kerana selama ini tidak mempunyai masalah kesihatan. Tuhan menguji tak pernah terhenti.
Bercerita lebih lanjut, penerima TikTok Malaysia Popular Creator Award 2021 berkata dia terpaksa mengharungi fasa memeritkan lagi iaitu selepas pembedahan.
Saya tak boleh bercakap langsung sebab leher saya ditebuk di bawah kotak suara. Tak boleh makan kerana gigi diikat dan hanya minum susu melalui hidung selain membuang najis menerusi tiub. Bahkan saya tak boleh berjalan selepas tulang betis diambil.
Bahkan saya kali pertama meminum susu melalui hidung. Tak selesa tapi kena reda. Selang beberapa minit kemudian, perut mula tak selesa.
Ada suatu ketika saya sesak nafas sekitar jam 3 pagi. Siksanya hanya Tuhan saja tahu. Saya yang tak boleh bersuara hanya mampu menggoncangkan katil sebagai isyarat. Akhirnya goncangan katil itu disedari seorang jururawat. Dia seterusnya menyedut kahak dan saya kembali boleh bernafas.
Hampir hilang nyawa
Kata Dr Samhan lagi, dia juga pernah bergelut dengan detik cemas apabila nafasnya terhenti seketika.
Mata saya terbeliak. Saya terus mengucap dalam hati. Mungkin ini pengakhiran buat saya.
Saya berdoa dalam hati kepada Allah, jika ini pengakhiran bagiku akhiri aku dengan sebaik-baik pengakhiran. Jika tidak, panjangkan umur aku untuk aku beri manfaat pada orang lain. Alhamdulillah dengan izin Allah, saya dipanjangkan umur.
Seronok kongsi ilmu
Sementara itu, Dr Samhan mendedahkan laluannya untuk bergelar doktor bukan mudah kerana harus melalui 10 tahun perjuangan dan kehidupan tanpa kenal erti putus asa.
Atas rezeki dan doa seorang ibu, Dr Samhan berpeluang melanjutkan pengajian perubatan di Mesir pada tahun 2010.
Dengan keputusan matrik 4 flat, saya terus ditawarkan dalam bidang perubatan di sebuah universiti tempatan. Bagaimana ketika pengajian memasuki tahun ketiga dan keempat, saya gagal dua kali.
Bererti kegagalan itu akan membuatkan saya ‘dibuang’ dari universiti dan tak boleh meneruskan bidang perubatan. Ibu bagaimanapun meminta saya membuat surat rayuan. Bagaimanapun rayuan itu ditolak bulat-bulat oleh dekan. Surat itu tidak dibaca, malah terus dibuang ke tong sampah.
Ibu saya berlinang air mata. Namun saat itu, saya berjanji kepada diri untuk tidak lagi membiarkan air mata ibu menyentuhi bumi lagi disebabkan kegagalan saya.
Menyingkap kerjayanya kini sebagai doktor dan pempengaruh, Dr Samhan gembira apabila dapat berkongsi ilmu bermanfaat kepada orang ramai.
Saya gembira kerana impian jadi doktor dan memberi manfaat kepada orang ramai dalam masa sama dapat direalisasi. Dua tahun lalu juga saya menemui dan meneroka platform Tiktok.
Saya juga harus membiasakan rutin merakam dan menyunting video sendiri. Malah tugas memuat naik di laman sosial juga saya lakukan sendiri.
Tanpa diduga, kandungan yang saya muat naik mendapat tontonan berjuta-juta dan dikongsi ramai. Malah dalam tempoh enam bulan, saya meraih 1 juta pengikut di TikTok.
Ada yang komen mengucapkan terima kasih kerana perkongsian dibuat mengubah skala hidup mereka. Malah tak ketinggalan mendoakan apa saya lakukan sebagai asbab untuk masuk syurga.
Justeru, kata-kata indah itu menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan apa yang dimulakan. Hidup saya seharian takkan lengkap tanpa memuat naik video bermanfaat. Jadi sekurang-kurangnya kena ada video manfaat setiap hari untuk dikongsi.
Kategori Best Of Education
@dr.samhan Bukan senang nak jadi content creator #JomBelajar #TikTokGuru #LearnOnTikTok #RoadToTikTokAwardsMY #TikTokAwardsMY #ForYouMalaysia ? suara asli – liriiklagu
Dalam masa sama, Dr Samhan juga berentap sebagai calon dalam Anugerah TikTok 2023 yang akan berlangsung pada Ahad ini bagi kategori Best Of Education.
Saya teruja dan bersyukur di atas pencalonan ini. Orang kata sudah tercalon itu cukup baik. Tapi kalau menang itu bonus. Namun menang atau kalah, bukan noktah untuk saya terus berkongsi perkara manfaat.
Malah di sebalik ujian saya lalui, saya kenal erti untuk tidak putus asa. Ia kekuatan kita. Tak lupa minta dititipkan doa ibu yang diumpamakan seperti keberkatan dalam hidup kita.
TikTok Awards Malaysia 2023 bakal menggegarkan pentas di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2023. Anugerah berprestij ini akan bersiaran secara langsung di TV3 dan akaun TikTok Malaysia di TikTok pada jam 9:00 malam. Manakala karpet merah pada jam 8.30 malam di TV9.
Muat turun atau lancarkan aplikasi TikTok hari ini untuk mengundi pencipta konten pilihan anda! TikTok disediakan secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.