Rentetan kisah ibarat drama slot Lestary ini bukan boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan seorang penyanyi yang baru sahaja menyinar bakatnya di mata dunia. Umur 9 tahun, itu lah di kala Shila Amzah ini mula dilatih bakat nyanyiannya oleh si bapa, ND Lala. Pada ketika itu, tiada syarikat label yang berani menanggung risiko untuk mencungkil bakat kanak-kanak ini. Tiada siapa yang menjangkakan pada 12 tahun akan datang, nama Shila Amzah bisa mengigit tanah besar China sehingga berjaya merangkul gelaran juara Asian Wave 2012.
Namun, bapanya yakin. Sanggup berhempas pulas mengeluarkan duit poket sendiri bagi mengeluarkan album pertama anaknya. Dan kerana kecekalan itu ia bisa membuat mata syarikat label EMI untuk mengambil Shila Amzah sebagai artis rakaman.
Orang tua mana yang tak ingin melihat anaknya berjaya? Sudah menjadi impian setiap ibu bapa sebaik sahaja celik mata bayi yang dikandung selama 9 bulan ini, dia mampu kelak mengharumkan nama negara di persada dunia. Kejayaan bukan datang sehari dua, bukan datang bergolek membabi buta. Ia tak mungkin turun daripada langit sekiranya tiada siapa yang usaha.
Di hadapan Tun Dr. Siti Asmah album pertama Shila Amzah dilancarkan. Satu penghormatan yang amat besar buat insan kecil yang pada ketika itu tiada apa-apa. Mungkin ada peminat yang dengar, tapi jumlahnya amat kecil, bayaran pun masih sedikit.
Tak mengapa. Usaha tak mungkin terhenti di situ. One In A Million musim ke-2 menjadi saksi apabila nama Shila Amzah diumumkan sebagai naib juara. Ketika itu, laman perkongsian Youtube menjadi sasaran peminat untuk melihat persembahannya secara berulang kali.
Apa yang unik tentang Shila Amzah, dia amat dekat dengan peminat. Dulu, dia kerap berkongsikan rakaman video di laman Youtube sehingga mencatat jumlah tontonan ratusan ribu. Kuasa media sosial, itu lah yang mengangkat nama penyanyi ini.
Selangkah demi selangkah, bakat kecil ini menyinar melalui lagu paduan 3 Suara yang sekaligus mengangkat namanya di persada hiburan. Tak terhenti di situ, Patah Seribu nukilan penyanyi ini sendiri menyinggah hati peminat sehingga berjaya menobat single itu sebagai Lagu Pop Terbaik & Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke 19.
Di kala kareernya memuncak, cinta mula mengusik hati penyanyi ini. Memetik bacaan khutbah ‘Antara Perjuangan & Cinta’, Islam tidak menyekat atau menghalang cinta sesama manusia. Namun al-Quran menjelaskan kedudukan cinta antara dua manusia berlainan jantina tidak lebih dari sebagai ujian. Cinta itu adalah ujian dari Allah s.w.t. untuk melihat di kalangan hamba-Nya, siapakah yang berjaya mengawal dirinya, tidak musnah menjadi korban cinta.
Kini ia terjadi kepada Shila Amzah. Konflik antara kekasih dan keluarga adalah satu ujian agar Shila Amzah bisa membuat pilihan dengan lebih tepat.
Semalam, penyanyi ini meminta supaya diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri. “I don’t wanna over-protected anymore. Let me be, ME,” tegasnya.
Benar, dia sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Tapi, lahiriah wanita ini secara semulajadi amat istimewa. Gusar, sekiranya terdengar bisikan-bisikan nakal boleh menjerumuskannya membuat keputusan yang salah.
Seperti tajuk, saya nasihatkan supaya Shila Amzah kembali lah ke pangkuan keluarga.
Kalau diukur, adakah nilai cinta kekasih itu berbaloi dengan pengorbanan yang selama ini dicurahkan oleh orang tuanya kepada Shila Amzah?
Artikel berkaitan :
- Tak Telus & Macam Budak-Budak – Sharnaaz Ahmad Respon Kenyataan Shila Amzah
- Sharnaaz Ahmad Cabar ND Lala Jadi Lelaki
- ND Lala Anggap Sharnaaz Biadap
- Shila Amzah Tak Sanggup Lukakan Hati Ibu Bapa
Sumber : Wikipedia