Gambar sekadar hiasan
Gara-gara tidak berpuas hati dipenjara selama tiga tahun, dua orang bekas pelajar Sekolah Henry Gurney dipercayai menyerang rakan mereka yang hanya dikenakan denda selepas ditahan kerana menunggang motosikal curi.
Artikel Berkaitan: Nasihat Rakan Jangan Tengok Video Lucah Punca Pelajar Tingkatan 1 Dibuli
Artikel Berkaitan: Angkat & Hempas Ke Lantai Sehingga Organ Dalaman Cedera, Pelajar Tahfiz Kritikal Dibuli
Singgah ke kedai mancing
Gambar sekadar hiasan
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hasan berkata, kejadian berlaku pada Sabtu lalu di mana mangsa yang berusia 20 tahun singgah ke kedai memancing sebelum dia diserang dua lelaki.
Mangsa tiba-tiba didatangi dua lelaki dikenalinya yang lalu memukul mangsa menggunakan tangan dan topi keledar serta mulutnya turut ditumbuk sebanyak dua kali.
Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan dua suspek berusia 20 dan 22 tahun di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan.
Tambah Mohd Zaid, siasatan awal mendapati bahawa motif kejadian disebabkan oleh ketidakpuasan suspek yang telah dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.
Manakala mangsa pula dibebaskan selepas membayar denda atas kesalahan yang sama, iaitu menunggang dan memiliki motosikal curi.
Sebelum ini, suspek dan mangsa ditahan atas kesalahan itu beberapa tahun lalu dengan suspek dikenakan hukuman tiga tahun mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Kajang.
Suspek tidak berpuas hati kerana mangsa hanya didenda manakala suspek dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney.
Kes ini telah disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 atau mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro