Serangan seksual boleh terjadi kepada sesiapa tanpa mengira usia. Tak ada istilah terlalu muda atau terlalu tua.
Bahkan, ramai lelaki juga mengalami gangguan seksual sama ada mereka sedar atau tidak.Dipetik kenyataan daripada YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada The Star, sebanyak 762 kes gangguan seksual dilaporkan pada tahun 2023 dan 182 daripada laporan tersebut merupakan kes gangguan seksual terhadap lelaki.
Bagi memastikan perkara ini tidak terus membarah di kalangan masyarakat, ibu bapa perlu mengambil langkah proaktif dengan memberikan perhatian kepada pendidikan seks dan membekalkan anak-anak dengan pengetahuan tentang gangguan seksual, terutama sekali mengenai sentuhan yang selamat.
Kunci utamanya adalah untuk peka dan percaya pada apa yang anak korang katakan. Jangan pandang remeh setiap aduan, walaupun ia melibatkan ahli keluarga atau kawan rapat.
Tiga cara untuk mengesan sekiranya anak-anak mengalami gangguan seksual
Rakan kerjasama Kempen Peduli Seks, Spot Community Project Malaysia berkongsi langkah yang perlu dilakukan jika korang mengesyaki anak korang menjadi mangsa gangguan seksual.
Ambil tahu
Rajin-rajinlah untuk bertanya dan ambil tahu apa yang terjadi kepada anak-anak serta elakkan daripada menghakimi mereka.
Peka dengan perubahan emosi anak
Perubahan emosi seperti sedih, murung, gelisah, mudah tersinggung dan senyap adalah salah satu indikator penting. Oleh itu, ajak mereka berbincang dan elakkan daripada menghakimi serta menghukum, dengarlah dengan perasaan terbuka.
Selidik dengan periksa telefon bimbit dan gajet
Sebagai ibu bapa atau penjaga korang berhak untuk semak dan periksa telefon bimbit dan segala aplikasi yang mereka gunakan, kemudian bincangkan bersama anak dan pasangan tentang kejadian yang menyebabkan mereka merasa diganggu atau tidak selamat.
Bincangkan juga bersama keluarga tentang tindakan yang perlu diambil, kekal tenang dan jangan bertindak secara berlebihan.
Korang perlu ingat bahawa, anak-anak perlukan sokongan korang dan keluarga untuk kekal selamat, berasa selesa dan yakin buat menghadapi cabaran ini.
Antara tindakan yang perlu diambil
Buat laporan Polis
Adukan kepada pihak Polis dengan butiran selengkap yang mungkin jika korang yakin jenayah seksual telah berlaku. Korang boleh draf laporan terlebih dahulu sebelum membuat laporan kepada pihak polis dan dapatkan rujukan ke D11 Bukit Aman.
Bawa ke hospital
Sekiranya anak korang memerlukan bantuan perubatan segera atau kecemasan, bawa mereka ke Pusat Krisis Bersepadu atau One Stop Crisis Center (OSCC) di hospital kerajaan terdekat.
OSCC adalah pusat perkhidmatan bersepadu di antara berbagai agensi yang menyelaraskan tugas bagi menyelesaikan kes keganasan rumah tangga, rogol, liwat dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Laporkan kepada Badan Bukan Kerajaan atau NGO
Jika korang perlukan bantuan untuk membuat keputusan atau masih keliru tentang tindakan yang sewajarnya, korang boleh hantarkan pesanan melalui ruangan Direct Messages di Instagram @hellospotgirl atau layari laman web rasmi mereka di SINI.
Terapkan ilmu pendidikan seks demi generasi yang lebih selamat
Haa.. Melalui beberapa cara yang dah dikongsikan ini jelaslah bahawa sekiranya anak-anak dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya, mereka akan lebih yakin dan berani untuk tampil kedepan, bahkan mereka juga akan lebih terbuka untuk bercerita.
Sekiranya korang mengambil langkah-langkah yang disarankan oleh Spot Community Project seperti di atas, kes gangguan seksual dapat dikenal pasti dengan lebih awal, dan keadilan dapat ditegakkan dengan lebih berkesan demi keselamatan anak-anak kita.
Kempen Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu ini memberikan info tentang semua perkara yang melibatkan pengetahuan seksual yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, komuniti, hubungan dan kekeluargaan serta dasar advokasi.
Pembaca digalakkan ke microsite kami di SINI untuk maklumat lanjut.
Rujukan:
- https://1in6.org/statistic/
- https://mankind.org.uk/statistics/statistics-on-male-victims-of-domestic-abuse/
- https://www.thestar.com.my/news/nation/2024/03/11/male-victims-on-the-rise
- https://en.wikipedia.org/wiki/Sexual_harassment_in_Malaysia
- https://www.thestar.com.my/lifestyle/family/2024/01/26/no-one-will-believe-me-say-male-survivors-of-sexual-harassment