Pelakon dan pengarah, Farid Kamil menjelaskan tentang pergolakan rumah tangganya bersama isteri yang juga aktres iaitu Diana Danielle selepas isu perceraian mereka kembali diperkatakan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pengarah Sifatkan Farid Kamil Profesional Meski Berdepan Isu Perceraian – ‘Dia Tak Pernah Nak Minta Tangguh Shooting’
Artikel Berkaitan: Farid Kamil Bertegas Mahu Selamatkan Rumah Tangga, Diana Danielle Beri Respon? – ‘Hipokrit’
Perkara kecil
Ketika ditemui OhBulan!, Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari tenang memberitahu bahawa kemelut yang melanda hanyalah berpunca daripada perselisihan faham kecil.
Alhamdulillah saya dapat perkhabaran (keputusan bercerai) itu dengan baik dan saya masih sayangkan isteri dan anak-anak saya. Jadi bagi saya ini adalah isu biasa dalam rumah tangga. Apa yang penting sekarang ini mahu fokus pada penggambaran filem Bisikan Dosa.
Saya akui fokus saya terganggu tapi apa yang saya boleh jelaskan di sini ada berlaku perselisihan faham sedikit dan perkara itu berlaku pada bulan mengambang. Tapi saya ambil perkara ini sebagai perkara yang positif. Biasalah, tsunami pun dua kali berlaku, inikan ombak cinta dalam perkahwinan.
Semasa disoal sama ada dia bersedia untuk menghadapi perceraian kali kedua, Farid berkata dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyerahkan segalanya kepada takdir Allah SWT.
Kali ini saya lebih bersedia. Saya anggap benda ini takdir Tuhan dan ini adalah qada dan qadar. Masalah perkahwinan saya sama dengan perkahwinan sesiapa di Malaysia ini tapi bezanya mereka tak ditemubual begini.
Farid berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem terbarunya itu di Kuang, Selangor pada Rabu.
Masih berhubung
Dalam pada itu, aktor berusia 43 tahun tersebut memberitahu bahawa dia dan Diana masih lagi tinggal sebumbung malah mereka berkomunikasi menerusi telefon seperti biasa.
Kami baru bercakap di telefon semalam, baru berhubung semalam dan baru bermesej semalam cuma malam saya tidur di lokasi penggambaran sebab shooting sampai pagi.
Dalam nada tegas, Farid juga berkata tiada keperluan untuk anak-anaknya mengetahui tentang isu yang sedang melanda.
Untuk apa mereka tahu? Anak-anak saya tak baca benda gosip semua ini.
Isnin lalu, pelakon filem Imaginur itu membuat mengumuman mengejutkan menerusi hantaran di Instagram dengan memberitahu bahawa dia akan bercerai buat kali kedua dengan Farid.
Terdahulu, selepas 11 tahun berkahwin, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor menerusi Google Meet pada 10 Ogos 2023.
Bagaimanapun, pasangan itu kemudian rujuk semula dalam tempoh iddah. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.