Penyanyi Shila Amzah memberi pendapat berhubung isu penderaan fizikal yang dilihat menjadi normal di dalam masyarakat.
Artikel Berkaitan: Shila Amzah Kongsi Foto Wajah Lebam, Dedah Trauma Nak Jejak Kaki Ke Pulau Pinang – ‘Terima Kasih Ubai Kerana Selalu Ada’
Artikel Berkaitan: Bapa Kandung Seth Tak Jenguk Anak? Ini Respon Shila Amzah
Penderaan bukan perkara normal
Menerusi hantaran di Threads, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah menyelar individu yang memandang remeh tentang isu penderaan.
Menurut Shila, penderaan bukanlah satu bentuk tindakan yang wajar dilakukan oleh seseorang.
Saya tak faham mereka yang menormalisasikan penderaan dan memperlekehkan individu yang sedang berusaha untuk menyembuhkan diri mereka.
Saya bimbang untuk pasangan, anak-anak, keluarga atau rakan-rakan mereka yang terpaksa berada bersama seseorang yang langsung tiada empati.
Penderaan tidak seharusnya dinormalisasikan, penderaan juga tidak sepatutnya dipandang remeh.
Beri kesedaran
Dalam pada itu, pelantun lagu Patah Seribu tersebut berkata, perkongsiannya sebelum ini adalah untuk memberi kesedaran terhadap orang ramai tentang isu berkenaan
Shila juga menasihati agar mana-mana individu yang terperangkap di dalam perhubungan toksik tersebut segera meninggalkan pasangan mereka sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.
Saya kongsikan kisah saya, untuk memberi galakan kepada mereka yang pernah mengalami penderaan daripada pasangan sebelum berkahwin, agar menjauhkan diri sebelum terlambat.
Kerana perkahwinan itu sukar, tetapi untuk melepaskan diri selepas berkahwin lebih sukar.
Ini bukan tentang jantina, lelaki atau perempuan, jangan kekal bersama pendera.
Terdahulu, anak kepada penyanyi ND Lala itu mendedahkan bahawa Pulau Pinang pernah menjadi tempat yang menghantui dirinya selepas berdepan dengan detik hitam satu ketika dahulu.
Dalam satu hantaran lain, Shila juga memuat naik gambar yang memaparkan matanya bengkak dan lebam seakan ditumbuk oleh seseorang. Namun, Shila tidak berkongsi secara terperinci mengenai insiden itu.
Sekadar info, Shila pernah mendirikan rumah tangga bersama Haris Edraki pada 2018 namun berpisah pada Februari 2022. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya maya lelaki, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.
Shila kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pempengaruh, Ubai MZ pada Ogos tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira pada 9 Mei lalu.
Sumber: Threads Shila Amzah