Kesihatan seksual sering dianggap topik yang tabu dalam kalangan masyarakat Malaysia. Namun, statistik menunjukkan betapa pentingnya perbincangan ini. Dengan anggaran 18,000 kes kehamilan remaja setiap tahun dan peningkatan kes gangguan seksual, sudah tiba masanya kita memecahkan stigma dan mula berbicara dengan lebih terbuka tentang kesihatan seksual.
Atas dasar inilah OhBulan dan Seismik, bekerjasama rapat dengan Hello Doktor, melancarkan kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’!
Bermula dari 1 November hingga 30 November 2024, kempen ini bertujuan memupuk pemahaman dan keterbukaan mengenai isu-isu seksualiti, terutamanya dalam kalangan komuniti Melayu.
Kenapa “Peduli Seks”?
Pendidikan seks sering dianggap sebagai perbincangan yang sensitif. Namun, menutup mata kepada topik ini hanya memburukkan lagi situasi yang sudah kritikal. Menerusi ‘Peduli Seks’, kempen ini menyasarkan untuk:
- Menggalakkan tingkah laku yang sihat
- Memperkasa individu dengan pengetahuan asas tentang kesihatan seksual
- Membanteras maklumat palsu yang boleh mengundang bahaya
- Meningkatkan kesedaran tentang pentingnya persetujuan dan tanda-tanda penderaan
- Membantu golongan muda mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran kehidupan sebenar
Terdapat Empat Tunjang Utama dalam Kempen “Peduli Seks”
Kempen ini mengutamakan empat aspek penting dalam pendidikan seks:
- Kesihatan – Memberi penekanan terhadap kesihatan lelaki dan wanita, termasuk kontraseptif serta kesihatan reproduktif.
- Keluarga & Hubungan – Memupuk pemahaman mengenai persetujuan, mengenali tanda-tanda penderaan emosi, fizikal, dan seksual, serta menggalakkan hubungan yang sihat.
- Komuniti – Memberi sokongan komuniti melalui organisasi yang berkaitan serta menangani isu sosial seperti gangguan seksual.
- Dasar & Advokasi – Meningkatkan kesedaran terhadap dasar dan undang-undang tempatan berkaitan kesihatan seksual sambil menggalakkan penglibatan orang ramai dalam memperjuangkan pendidikan seks yang komprehensif.
Mencapai Semua Lapisan Masyarakat
Bagi memastikan kempen ini mencapai pelbagai golongan masyarakat, “Peduli Seks” akan dilaksanakan melalui pelbagai medium, termasuk:
- Artikel dan video informatif
- Podcast dan sesi siaran langsung di YouTube
- Iklan di TV, papan iklan, dan surat khabar
Selain itu, sebuah mikrosite khas di says.com/peduliseks akan bertindak sebagai pusat digital kempen ini. Laman tersebut akan mengandungi pelbagai maklumat kempen, termasuk ruang untuk berkongsi cerita secara anonim dan kerjasama dengan NGO yang berkaitan.
Dengan hashtag #PeduliSeks, kempen ini juga akan memanfaatkan platform media sosial bagi meningkatkan interaksi dan menjangkau lebih ramai masyarakat.