Kemurungan merupakan antara masalah kesihatan mental yang sering dilalui oleh sesetengah individu sehingga menyebabkan mereka berasa sedih berpanjangan, keletihan lalu menjejaskan kehidupan. Lebih parah lagi, terdapat segelintir individu yang mengambil tindakan untuk membunuh diri berikutan sudah tidak mampu untuk menanggung masalah yang dihadapi.
Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober ini, OhBulan! telah melancarkan satu kempen iaitu Besties Pape Roger.
Menerusi program Show Dalam Bilik, penyampai radio di Hot FM iaitu Ayu berkongsi kisah dan pengalaman sendiri dalam menghadapi masalah mental.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Alami Kemurungan Tak Jadi Kahwin, Lelaki Habiskan Masa Termenung Tatap Foto ‘Pre Wedding’
Artikel Berkaitan: Tak Mahu Anak Angkat Sedih, Bapa Tunggal Sanggup Pakai Rambut Palsu & Gaun Sempena Hari Ibu
Mencari identiti sebenar
OhBulan!: Boleh Ayu ceritakan serba sedikit tentang latar belakang dan asal usul Ayu?
Ayu: Saya dilahirkan di Labuan tetapi saya dibesarkan di Semenanjung Malaysia. Mula-mula di Perak kemudian pada tahun 2003 saya berpindah ke Selangor. Saya ini anak angkat, bapa kandung saya orang Cina manakala ibu saya pula dari negara Filipina. Sekarang saya tinggal bersama ibu bapa angkat saya yang berasal dari Kedah dan Perak. Ibu bapa kandung saya tak dapat dikesan.
OhBulan!: Sepanjang kehidupan Ayu pernah jumpa, simpan foto atau kenal ibu bapa kandung?
Ayu: Tidak pernah. Tapi setakat yang saya tahu bapa saya ada lesung pipit, dia rendah..kiranya saya ikut fizikal dia. Saya tahu daripada pengasuh saya, tetapi tak ada gambar bahkan nama pun saya tidak tahu.
Menurut Ayu, dia lebih mengutamakan perasaan ibu bapa angkatnya dan menghargai pengorbanan mereka walaupun berdepan dengan kenyataan pahit bahawa dia mungkin sukar untuk bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya.
OhBulan!: Bila sudah dewasa Ayu pernah tak terfikir atau berhasrat untuk mencari ibu bapa kandung?
Ayu: Sejujurnya, dulu ada tapi sekarang tak lagi. Sebab saya rasa tidak perlu lagi untuk mencari mereka yang telah meninggalkan kita, tak perlu. Saya sudah ada abah dan ibu yang menjaga saya dari kecil hingga besar jadi saya perlu utamakan perasaan mereka berbanding orang yang sudah tidak mahu saya.
Tahu status anak angkat menerusi surat beranak
OhBulan!: Bila Ayu tahu sebenarnya Ayu adalah anak angkat?
Ayu: Saya tahu kebenaran yang saya adalah anak angkat ketika berusia 11 tahun tapi bukan daripada mulut abah dan ibu. Saya mengetahui daripada seorang sepupu saya. Saya menafikan perkara tersebut sehinggalah saya terjumpa surat beranak dan di bahagian bawah ada tertera tulisan ‘dianak angkatkan’. Waktu mengetahui yang saya adalah anak angkat terus menangis.
Pelbagai perasaan yang tak boleh hadam. Saya rasa kosong. Selepas saya tahu perkara sebenar saya diam dan pendam sampailah saya berusia 15 tahun. Saya tak ada bertanya langsung pada abah, sebab jauh di hati saya masih menafikan perkara itu.
Sementara itu, penyampai radio berusia 24 tahun ini mengakui dia pernah mengalami kesukaran untuk mendapatkan kad pengenalan ekoran status anak angkat tersebut.
OhBulan!: Boleh kongsikan dengan kami proses untuk mendapatkan kad pengenalan sebagai seorang berstatus anak angkat?
Ayu: Proses untuk dapatkan kad pengenalan ini abah dan ibu yang uruskan tetapi mereka tak pernah bercerita dengan saya. Saya pernah hubungi abah kemudian saya bertanya kepadanya tentang kad pengenalan saya. Saya bukanlah nak tahu tentang kad pengenalan tersebut tetapi saya ingin tahu kebenaran tentang saya ini adalah anak angkat. Saya tanya pada abah sambil marah-marah tapi abah jawab lembut sahaja. Abah saya jawab ‘ Tak Ayu bukan anak angkat, Ayu anak abah’. Sampai tahap macam itu, dia sayang saya.
‘Saya dah tak perlu cari kebenaran’
OhBulan!: Abah masih tidak mengaku tentang status Ayu, jadi apakah cara yang dilakukan untuk dia memberitahu perkara sebenar?
Ayu: Ketika itu dia masih berkata saya anaknya dan saya terus letakkan telefon. Bahkan dia masih berkata saya anaknya sehingga sekarang. Tak pernah sekali pun dia cakap saya adalah anak orang lain. Daripada itu saya sedar, kalaulah sebegini besar pengorbanan dia untuk mengatakan dia sayang saya, jadi saya perlu faham juga situasi dia. Saya sedar yang saya tak perlu cari kebenaran. Saya tolak tepi kenyataan yang saya adalah anak angkat dan fokus saya adalah untuk buat mereka gembira.
Ayu berkata dia memilih untuk memendam masalah yang dihadapi seorang diri berbanding berkongsi dengan orang lain.
Dalam pada itu, Ayu juga menyatakan bahawa dia ikhlas menerima takdir yang telah menimpa dirinya malah dia dan keluarga kini lebih terbuka untuk berbincang mengenai isu tersebut.
OhBulan!: Pernah atau tidak membincangkan isu ini bersama keluarga?
Ayu: Keluarga kami tak pernah ada perbincangan dari hati ke hati tentang perkara ini. Bila saya makin membesar, saya sedar bahawa ada perkara yang tak perlu pun untuk kita bercakap tetapi kita sudah mengetahui. Jadi saya pendam segalanya. Sebab itu saya jadi ‘extra hyper’, lebih gembira dan seronok pada luaran. Saya banyak berkomunikasi dengan orang, lepak dengan kawan-kawan dan saya cepat serasi dengan orang.
OhBulan!: Adakah Ayu reda menerima kenyataan?
Ayu: Sejujurnya, buat masa sekarang ini saya dah terima segalanya yang terjadi kepada saya. Saya reda. Apabila saya nampak pengorbanan abah dan ibu, saya rasa tak ada benda yang lagi penting selain saya mengetahui saya adalah anak mereka. Sekarang ini, kami sudah boleh berbincang tentang perkara ini secara terbuka dan saya akan meminta izin kepada mereka untuk berkongsi kisah kami terlebih dahulu.
Timbul keinginan untuk bunuh diri
Paling memilukan apabila Ayu mendedahkan bahawa dia pernah berdepan detik hitam ketika melalui fasa kemurungan yang melampau sehingga timbul keinginan untuk membunuh diri.
OhBulan!: Macam mana Ayu tangani stres disebabkan masalah ini terutama ketika di bangku sekolah?
Ayu: Saya tidak bercerita dekat orang. Waktu saya mengalami kemurungan, saya pernah ada rasa perasaan mahu bunuh diri dan rasa macam nak akhiri semuanya. Setiap kali solat saya menangis sampai salahkan takdir. ‘Ya Allah, aku dah tak mampu kenapa kau uji lagi?’ Sampai satu tahap saya terfikir, ‘kipas ini kuat tak?’, dan apabila tengok tempat tinggi saya fikir nak terus ‘pergi’. Ibu bapa saya tidak pernah tahu yang saya ada keinginan untuk membunuh diri.
Saya tak pandai nak luahkan rasa sakit. Saya akan duduk di bilik seorang diri dan salahkan banyak pihak. Perasaan yang saya alami seorang diri itu menjadikan diri saya sekarang ini. Apabila di hadapan orang saya banyak bercakap, bila balik rumah saya pendiam.
Bagaimanapun, Ayu tetap menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan ibu bapa yang sentiasa mencurahkan kasih sayang meskipun tiada pertalian darah malah sentiasa menyokongnya.
OhBulan!: Sedikit kata-kata atau ucapan untuk abah dan ibu Ayu.
Ayu: Terima kasih abah dan ibu sebab percaya dengan apa yang saya mampu buat. Terima kasih kerana tak pernah berputus asa dengan saya dan tiada masalah jika saya tak dapat tahu tentang kebenaran sekali pun, saya dah lepaskan perasaan itu. Saya nak ibu dan abah tahu yang saya sayang sangat dekat kalian berdua. Apa-apa yang saya buat atas dunia ini semua untuk abah dan ibu.
OhBulan!: Katakanlah suatu hari nanti ibu atau abah meninggal dunia, bagaimana Ayu nak menghadapi kenyataan itu?
Ayu: Ayu tak bersedia lagi untuk hilang kedua-duanya, jadi ibu dan abah kena sentiasa sihat. Kalaulah saya kehilangan mereka, itu adalah hari yang mana saya tak akan menjadi diri saya, saya akan hilang seluruh jiwa saya.
Jangan pendam, cari bantuan profesional
OhBulan!: Nasihat untuk mereka yang sedang menghadapi masalah mental.
Ayu: Jangan jadi macam saya banyak memendam, carilah bantuan daripada pihak yang profesional. Untuk semua orang yang diluar sana yang mengalami masalah yang sama macam saya, insyaAllah akan ada jalan. Kita kena sentiasa bersyukur kerana ramai yang menyokong kita.
Kalau korang sedang berdepan dengan masalah yang sama atau mengalami sebarang simptom-simptom kemurungan, korang perlulah segera dapatkan bantuan daripada pakar atau mana-mana pihak yang profesional.
OhBulan! tak akan biarkan korang keseorangan kerana kami turut penyediakan platform untuk korang lebih memahami tentang kesihatan mental dengan layari www.ohbulan.com/bestiespaperoger. Banyak artikel-artikel yang korang boleh baca atau join TikTok live kami untuk maklumat lanjut.
Korang juga boleh ‘curhat’ secara anonymous tau! Jangan malu, jangan segan untuk dapatkan pertolongan. So guys, pape roger okay?