Setelah lebih tiga tahun menyepikan diri, pelakon terkenal, Adlin Aman Ramlie kini beraksi dalam sebuah filem bergenre aksi, sekali gus mengubat kerinduan peminat yang ingin sosok ini berada layar perak tanah air.
Artikel Berkaitan: Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang Telan Kos RM13 Juta
Artikel Berkaitan: Lawan Perasaan Takut, Saharul Ridzwan Sahut Cabaran Terapung Di Tengah Laut Selama Sejam
Tertarik dengan naskah
Adlin menyatakan dirinya menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu kerana tertarik dengan naskhah filem pasukan unit beruniform selain belum pernah dilakonkannya sebelum ini.
Sebenarnya, ada beberapa sebab saya terima tawaran berlakon dalam filem ini. Saya juga sudah kenal lama dengan pengarah, Allahyarham Pitt Hanif sejak zaman 1990-an lagi ketika arwah belajar di Akademi Filem, manakala saya pula di Akademi Seni Kebangsaan.
Saya percaya arwah Pitt juga yang mencadangkan nama saya kepada penerbit untuk membintangi filem ini.
Kata anak kepada pelakon veteren, Ruminah Sidek ini, dia mahu membuat ‘comeback’ kerana sudah merindui dunia lakonan di samping ingin menyokong rakan seperjuangannya.
Saya rindu mahu kembali berlakon, jadi terima tawaran kerana memberi sokongan pada rakan dalam industri perfileman tempatan.
Justeru, bila dapat tawaran buat filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini yang juga genre aksi beruniform, saya terus tertarik kerana ia genre berbeza dan tak pernah buat sebelum ini.
Menampilkan barisan hebat
Bercerita tentang watak antagonis sebagai Samat yang merupakan ketua penjenayah, Adlin, 50, mengakui agak mencabar ketika melakonkan babak fighting.
Katanya lagi, dia perlu melakonkan babak fighting (pergaduhan ) di pulau dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz (Saharul) dalam filem itu.
Filem ini menampilkan babak aksi pergaduhan yang penonton tidak pernah tengok saya lakonkan sebelum ini. Saya juga tidak merujuk sesiapa untuk melakonkan watak Samat, sebaliknya ia mengikut idea dan kreativiti sendiri.
Saya menjalani latihan ‘fighting‘ dengan bimbingan dari koreografer profesional seminggu sebelum penggambaran. Selain itu, ada juga sesi latihan di studio.
Babak pergaduhan itu aksi yang berterusan dan sudah namanya filem aksi, ia membabitkan banyak percubaan untuk dapatkan shot menarik. Setakat tubuh lebam-lebam buat babak bertinju itu perkara biasa dalam filem aksi.
Sangat mudah
Mengulas pengalaman bekerja dengan arwah Pitt selaku pengarah pula, kata Adlin, dia tiada masalah bekerjasama dengan pengarah muda itu kerana mereka sudah kenal lama.
Arwah Pitt, penuntut lulusan bidang filem dan memiliki pengalaman luas dalam bidang pengarahan. Saya juga mengenali personaliti dirinya dan cara proses kerja dia saya sudah tahu. Kami juga berbincang mengenai watak ketika sesi pembacaan skrip dan saya juga beri idea dan pemikiran untuk menterjemahkan watak saya lebih matang berbanding pelakon lain.
Kalau saya berasa babak itu itu tak okay ketika sesi pembacaan skrip, saya beritahu kepada arwah dan cakap terus terang sahaja dengannya. Arwah juga beri kepercayaan pada keputusan yang saya buat dan memudahkan kami bekerjasama untuk memberikan yang terbaik pada filem itu.
Dalam pada itu, pemilik nama Adlin Aman Ramlie turut mengucapkan tahniah kepada Maritim Malaysia kerana mereka memberikan sokongan kepada industri perfileman tempatan dengan bekerjasama dalam pembikinan filem skala besar ini seiringan dengan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, tentera dan sebagainya.
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini menampilkan gandingan dua aktor dan aktres popular Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama. Bukan itu sahaja, filem ini turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Sherie Merlis dan ramai lagi.
Filem edaran Metrowealth International Group dan disokong Primeworks Studios (PWS), Media Prima Berhad (MPB). Ia mula menjengah pawagam seluruh negara termasuk ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam sejak 2 Februari lalu.