Pelakon dan penyanyi, Alif Satar menjelaskan dia dan kumpulannya The Locos mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap susunan muzik bagi lagu Anugerah Terindah pada konsert Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, malam ini.
Artikel Berkaitan: #AJL37: ‘Joe Flizzow, Liza Hanim & Shila Amzah, Khai Bahar Jadi Pesaingan Sengi’ – Alif Satar & The Locos
Artikel Berkaitan: Berjaya Jadi Finalis AJL, Iman Troye Nafi Riak
Gubah semula lagu
Menurut penyanyi berusia 32 tahun ini, Alif Satar & The Locos telah mendapatkan khidmat pengarah muzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Ahmad Muriz Che Rose untuk mengubah semula susunan lagu yang bakal dipertandingkan nanti.
Malah, mereka turut menggunakan input daripada pengarah muzik AJL 37, Datuk Ramli MS bagi menambah kekuatan pada lagu berkenaan.
Sejak dua minggu lalu, kami sudah membuat perancangan daripada segi bagaimana kami mahu muzik lagu ini digubah. Demi mendapatkan hasil terbaik, kami gunakan khidmat Ahmad Muriz sebagai penggubah.
Tok Ram (Ramli) juga ada memberi buah fikiran dan idea untuk memperbanyakkan lagi ‘strings’ dalam bahagian tertentu lagu itu. Apabila fikir semula, kami sangat bertuah kerana dapat menggunakan khidmat dua pengarah muzik handalan untuk persembahan di pentas AJL 37.
Nyanyian dan muzik
Selain itu, kumpulan ini memaklumkan, mereka tidak mahu menggunakan sebarang ‘props’ besar di pentas berprestij itu nanti sebaliknya hanya mempertaruhkan nyanyian dan muzik semata-mata.
Dari awal lagi kami sudah tanamkan dalam fikiran bahawa kami bukannya hendak bertanding. Sebaliknya, kami hanya mahu penonton terhibur dan berpuas hati dengan persembahan kami. Jadi, tiada penggunaan props besar-besar di atas pentas.
Kami mahukan persembahan kami itu seperti kesempurnaan dalam kesederhanaan. Cuma penampilan kami nanti akan lebih menonjolkan elemen fesyen untuk nama lebih bergaya
Pada AJL 37 ini, Alif Satar & The Locos mempertaruhkan lagu berjudul Anugerah Terindah hasil ciptaan Alif dan ahli kumpulannya yang diilhamkan semasa mereka mengadakan Jelajah Persembahan di Sheffield, United Kingdom (UK) pada Februari 2019.
Sumber: Berita Harian