Perjalanan hidup usahawan dan pempengaruh terkenal, Aleeya Zailan, bukan sesuatu yang mudah untuk dikenang kembali.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Kurang Buat Live Sebab Penyakit Ain, Orang Tak Kenal Pun Tak Mengapa’ – Aleeya Zailan

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aleeya Zailan Berang Netizen Dakwa Eva Tak Solat – ‘Awak Ingat Dia Tak Reti Ke? Mengaji Pun Pandai’

Lebih fokus terhadap perniagaan barang kemas

Ibu kepada tiga orang anak ini, yang kini lebih dikenali sebagai Aleeya Avenys, menganggap pengalaman hidup susah dan membesar dalam keluarga yang bercerai berai sebagai sebuah pengajaran berharga.

Kini, dia tidak mahu untuk menoleh ke belakang lagi, dan baru-baru ini menceburi bidang perniagaan baharu sebagai tauke barang kemas menerusi jenama Avenys & Co.

Kata Aleeya, sebelum ini dia membina nama dalam perniagaan sambal, produk penjagaan kulit, dan suplemen.

Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi berlian dan permata memang teman akrab golongan wanita.

Macam lagu mendiang Marilyn Monroe berjudul ‘Diamonds Are a Girl’s Best Friend’.

Dalam erti kata lain, saya sudah mula ‘tersuka’ dan ‘terjatuh hati’ dengan barang kemas terutama berlian.

Dari membeli dan mencari berlian terbaik untuk diri sendiri, akhirnya jadi geram sampai terbeli dalam kuantiti banyak.

Kemudian suka pula batu permata. Lama-kelamaan, asyik fikir dan menikmati keindahan barang kemas, tercetus rasa serta keputusan untuk menceburi perniagaan ini. Lebih istimewa saya reka sendiri barang kemas yang diingini.

Tambah isteri kepada Azri Aziz, yang lebih dikenali sebagai Big Boss, fokusnya kini lebih kepada perniagaan barang kemas, iaitu sekitar 80 peratus daripada perhatian dan tenaganya.

Selebihnya (20 peratus) perhatian itu tetap diberikan untuk perniagaan penjagaan kulit (jenama Avenys) yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.

Tambahan lagi, perniagaan penjagaan kulit itu sudah ibarat boleh lepas tangan kerana produk boleh dibeli di banyak premis termasuk Guardian dan Aeon Wellness.

Saya juga ada hos siaran langsung di TikTok yang aktif menjual.

Syukur, jenama kebanggaan saya ini sudah dikenali, dipercayai, dan mempunyai pelanggan serta peminat tegar.

Selain itu, Aleeya Avenys turut menjelaskan bahawa semangatnya mengembangkan perniagaan berlian dan batu permata datang daripada keinginan untuk mendidik orang ramai supaya lebih bijak membeli.

Memang kita selalu dengar ramai yang kena tipu sebab tak tahu selok belok barang kemas.

Ada yang beriya-iya nak beli berlian dan permata tapi hujung-hujung batu dicari tak berkilau selain palsu.

Jadi untuk permulaan, barang kemas saya dibuat secara konsep ‘made to order’ dan boleh ditempah menerusi laman sesawang www.avenys.com.

Akaun Instagram digodam

Sementara itu, dia turut mengakui masih berasa sedih apabila akaun Instagram peribadinya dengan lebih 900,000 pengikut digodam sebelum ini.

Sedih memang sedih kerana IG itu banyak kenangan. Termasuklah mengumpul ramai peminat dan pelanggan.

Menerusi Instagram itu juga saya perlahan-lahan membina jenama, meluaskan empayar diri serta pengaruh perniagaan.

Saya ada juga usaha untuk mendapatkan akaun Instagram itu kembali. Tapi macam agak sukar. Akhirnya, kena reda saja.

Ada juga buat akaun Instagram baharu, tapi berjaya kumpul sedikit saja pengikut sekitar lebih 2,000.

Saya kini banyak guna medium Facebook dan TikTok saja.

Tapi kebelakangan ini lebih kepada Facebook (Avenys) termasuk buat ‘live’ di medium berkenaan kerana banyak sangat kekangan di TikTok.

TikTok perniagaan saya sendiri sudah empat kali diharamkan.

Natijahnya sampai wang syarikat saya di bawah akaun TikTok itu pun lesap.

Sudah banyak kali buat aduan dengan pihak TikTok tapi semuanya berakhir dengan kehampaaan.

Di samping itu, Aleeya sebelum ini juga pernah memperlahankan aktiviti bersiaran langsung di media sosial kerana penyakit ain.

Sebab itu juga saya guna khidmat hos siaran langsung.

Kita tak pernah tahu apa yang ada dalam hati orang yang mungkin iri dan cemburu. Jadi saya ambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terlalu menonjol.

Cuma kebelakangan ini saya mula rasa senang nak aktif di media sosial termasuklah buat vlog untuk dimuat naik di TikTok dan platform lain.

Macam baru-baru ini saya ada buat vlog semasa bercuti di benua Antartika selama tiga minggu bersama suami.

Percutian mewah itu pun mencuri perhatian netizen apabila ada yang menyamakan kos ke sana macam pakej VIP menunaikan haji.

Macam-macam lagilah telahan netizen, tapi saya sudah imun.