Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024 bakal menjadi pentas berprestij yang mengiktiraf pempengaruh terbaik dari lapan negara di Asia termasuk Malaysia.
Artikel Berkaitan: Kerap Terima Soalan Bila Nak Dapat Anugerah, Ini Respons Noorkhiriah ‘ Mungkin Zaman Akak Menang Adik Belum Lahir’
Artikel Berkaitan: Lagu ‘Diam’ Hael Husaini Menang Anugerah Best Theme Song (Malaysia) Di Asian Academy Creative Awards 2024
Visi besar
Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Dato’ Abd. Rahman Soltan berkata, anugerah tersebut menghimpunkan bakat dan pengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya, dengan tujuan untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada individu yang membawa impak positif dalam dunia digital Malaysia dan antarabangsa.
Dengan lebih 300 juta pengikut di seluruh Asia, ASIA 2024 bukan sekadar acara sambutan, tetapi adalah sebahagian daripada visi besar untuk menghubungkan Asia melalui pengaruh digital.
Kami membina rangkaian pengaruh yang dapat melahirkan inspirasi, membina kreativiti, dan mempereratkan hubungan antara budaya.
Dalam majlis yang bakal berlangsung Disember depan, pempengaruh dari Jepun, Korea, Indonesia, Filipina, Vietnam, Taiwan, Thailand dan Malaysia bakal berentap dalam 13 kategori yang dipertandingkan.
Selain malam gala penganugerahan, peserta yang terdiri daripada pempengaruh dengan jutaan pengikut bakal menjalani aktiviti seni dan budaya selama tiga hari di Melaka.
Malah, anugerah yang memasuki edisi kedua tahun ini juga selari dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2024, menonjolkan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia kepada seluruh Asia.
Satukan budaya
Tambah Abd. Rahman lagi, ASIA2024 menonjolkan misi untuk memajukan industri pengaruh digital di Asia sambil mendorong pembangunan sosial yang lestari.
Anugerah ini bukan sahaja tentang meraikan pencapaian individu, tetapi ia adalah usaha untuk membentuk masa depan yang lebih berhubung dan lestari.
Kami mahu para pempengaruh dan jenama mencipta kempen yang bukan hanya menarik perhatian, tetapi memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencipta impak yang berkekalan.
Dengan wawasan yang berpandangan jauh ini, kami berharap ASIA akan menjadi platform yang menyatukan budaya dan memperlihatkan potensi besar pempengaruh Asia di mata dunia.
Dalam pada itu, ujar Abd. Rahman, ASIA2024 juga merupakan platform penting bagi setiap pempengaruh media sosial bertemu peminat di Malaysia.
Selain itu, ia dapat mengembangkan rangkaian persahabatan antara pempengaruh itu sendiri.
Untuk info, ASIA edisi pertama yang berlangsung tahun lepas mengiktiraf pempengaruh terkenal Indonesia, Ahieb Reborn yang berjaya menggondol anugerah utama sebagai Pempengaruh Media Sosial Terbaik.
Dengan kemenangan itu, Ahieb berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah USD10,000 (RM47,300) berserta trofi.
Sementara itu kategori Suntingan Terbaik dimenangi Hermansyah dari Indonesia yang membawa pulang hadiah wang tunai USD3,000 (RM14,200) beserta trofi, manakala kategori Penyampai Cerita Terbaik USD1,000 (RM4,730) dimenangi Tikaolaa (Indonesia), dan trofi Pilihan Orang Ramai dibawa pulang oleh Syellaisk (Indonesia) bersama wang tunai USD1,000 (RM4,730).
Tambah mengagumkan, tanda pagar #AllStarInfluencerAward2023 berjaya mendapat lebih 205juta capaian di aplikasi Tiktok dan tular di pelbagai platform media sosial dalam tempoh satu tahun sahaja.